Buah Durian Segar Malaysia Sudah Boleh Dieksport Ke China
PUTRAJAYA, 19 JUN 2024 – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah memeterai Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke Republik Rakyat China (RRC). Protokol tersebut telah dimeterai oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama H.E. Yu Jianhua, Menteri General Administration of Customs of the People’s Republic of China (GACC).
Dokumen Protokol tersebut telah diserah terima antara YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan H.E. Ouyang Yujing, Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia semasa Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Persetujuan Antara YAB Perdana Menteri Malaysia dan Premier Republik Rakyat China yang diadakan di Putra Perdana, Putrajaya hari ini dengan disaksikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim dan Premier Li Qiang.
Melalui pemeteraian ini, luang pasaran eksport baharu bagi buah durian segar dari Malaysia ke negara China telah dibuka. Sebelum ini, Malaysia telah diberikan akses pasaran eksport ke China bagi durian dalam bentuk ulas dan pes pada tahun 2011 dan buah durian sejuk beku dalam bentuk biji pada tahun 2018.
Tambahan akses durian segar ini akan mengembangkan industri tanaman durian tempatan dan meningkatkan nilai eksport agromakanan ke luar negara.
Untuk rekod, dalam tempoh lima (5) tahun dari 2018 hingga 2022, jumlah nilai eksport durian ke luar negara telah berkembang sebanyak 256.3% atau peningkatan sebanyak RM822.8 juta. Pada tahun 2022, eksport durian Malaysia ke seluruh dunia mencatat nilai sebanyak RM1.14 bilion. Secara keseluruhan, durian merupakan penyumbang utama (58.6%) kepada nilai eksport buah-buahan negara pada tahun 2022 daripada keseluruhan nilai eksport buah-buahan yang bernilai RM2.01 bilion.
Negara China merupakan pasaran eksport utama buah durian dari Malaysia dengan nilai eksport sebanyak RM887 juta pada tahun 2022. Nilai eksport durian diunjur akan terus meningkat kepada RM1.8 bilion pada tahun 2030.
KPKM yakin pelaksanaan protokol ini akan menggalakkan perkembangan industri tanaman buah durian tempatan dan membuka peluang kepada lebih 63 ribu pengusaha durian di seluruh negara. Melalui protokol ini juga, pengusaha durian yang berdaftar dan mendapat kelulusan daripada GACC berdasarkan pematuhan kepada syarat-syarat dalam Protokol tersebut dibenarkan untuk mengeksport buah durian segar ke negara China.
Pemain industri yang berminat untuk berdaftar sebagai pengeksport buah durian segar ke China boleh menghubungi Jabatan Pertanian (DOA) dengan mengemukakan emel kepada [email protected] dan [email protected].