Siakap Keli
Jemaah haji meninggal
Gambar: BERNAMA

Lebih 1,300 Jemaah Haji Meninggal Dunia Akibat Cuaca Panas Terik – Arab Saudi

Lebih 1,300 Jemaah Haji Meninggal Dunia Akibat Cuaca Panas Terik – Arab Saudi

JEDDAH — Kerajaan Arab Saudi memaklumkan lebih 1,300 jemaah haji meninggal dunia akibat cuaca panas terik yang melanda di negara itu, lapor AFP.

Menurut kerajaan tersebut, kebanyakan jemaah haji yang meninggal dunia itu terdiri daripada jemaah yang tidak berdaftar.

“Malangnya, jumlah kematian jemaah mencecah 1,301 dengan 83 peratusnya terdiri daripada mereka yang tidak dibenarkan untuk menunaikan haji dan telah berjalan jauh di bawah cahaya matahari, tanpa mempunyai tempat perlindungan atau keselesaan yang cukup,” lapor Agensi Akhbar Saudi.

Pada minggu lalu, laporan rasmi mendedahkan jumlah jemaah yang meninggal dunia itu melebihi 1,100 orang. Difahamkan, mereka yang meninggal dunia terdiri dari 10 negara.

Dalam kenyataan tersebut memaklumkan rata-rata kes kematian adalah berkaitan haba dan suhu tertinggi yang direkodkan di Makkah tahun ini adalah 51.8 darjah celsius, menurut pusat meteorologi negara Arab Saudi.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Arab Saudi, Fahd Al-Jalajel pada Ahad menyifatkan pengurusan haji bagi tahun ini sebagai berjaya.

Katanya, sistem kesihatan telah menyediakan lebih 465,000 perkhidmatan rawatan khusus termasuk 141,000 perkhidmatan kepada mereka yang tidak mendapat kebenaran rasmi untuk menunaikan haji.

BACA: Jemaah Haji Malaysia Meninggal Dunia Ketika Tawaf

“Sistem kesihatan telah menangani banyak kes tekanan haba yang berlaku pada tahun ini, dengan beberapa individu masih dalam penjagaan.

“Antara yang maut terdiri daripada beberapa orang warga emas dan pesakit kronik,” ujarnya.

Pegawai Saudi berkata seramai 1.8 juta jemaah haji telah menunaikan Haji pada tahun ini dan sekurang-kurangnya 1.6 juta orang adalah dari luar negara.

Ibadah haji merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima yang wajib disempurnakan oleh semua umat Islam yang berkemampuan sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka.

Sistem kuota telah diperuntukkan kepada setiap negara, bagaimanapun kos yang tinggi mendorong ramai jemaah untuk mendaftar secara tidak sah.

Pada Sabtu lalu, Perdana Menteri Mesir Mostafa Madbouly mengarahkan sebanyak 16 syarikat pelancongan dilucutkan lesen pengelola mereka dan merujuk kes itu kepada pendakwa raya kerana menyalahi undang-undang sewaktu tiba di Makkah.

Sumber: AFP

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"