Nahas Babit Tiga Lori, Seorang Lelaki Dilaporkan Maut
Seorang pemandu lori yang membawa muatan barangan sejuk beku telah maut dalam kemalangan yang melibatkan tiga lori di kilometer 186.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, mangsa, Mohd Azmizan Stapa, 39, yang memandu lori jenis Isuzu, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi, menyatakan bahawa ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Batu Pahat menuju ke Kuala Lumpur.
Menurut beliau, setibanya di lokasi kejadian, sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 43 tahun bersama dua penumpang masing-masing berusia 32 dan 35 tahun dari Muar ke Tanjung Malim, Perak, telah memperlahankan kenderaan kerana terdapat kerja-kerja penyelenggaraan jalan di hadapan.
Pada masa yang sama, lori yang dipandu oleh mangsa dari arah belakang tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian belakang lori jenis Nissan UD.
“Akibat kemalangan itu, lori Nissan UD itu kemudian telah melanggar bahagian belakang sebuah lagi lori jenis Hino yang dipandu lelaki berusia 36 tahun.
“Mangsa mengalami kecederaan tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala pemandu serta kelindan dua buah lori yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Tambah beliau, siasatan mendapati punca kemalangan adalah kerana mangsa gagal mengawal kenderaan dan melanggar kenderaan lain.
“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987,” katanya.
BACA: Wanita Bertahan 12 Jam Atas Pokok, Terselamat Dari Banjir Besar
BACA: Insiden Baling Batu Terhadap Bas Penyokong Perak Hanya Perbuatan Nakal – Polis
BACA: Wanita Bunuh Dua Anak Dipercayai Kerana Tidak Mahu Suami Dapat Hak Jaga Anak
Sumber: Sinar Harian