Siakap Keli

Pusat BYD Sulung Kendalian Harmony Auto Kini Dibuka Di Hartamas Shopping Centre 

Pusat BYD Sulung Kendalian Harmony Auto Kini Dibuka Di Hartamas Shopping Centre 

KUALA LUMPUR, 26 Jun 2024 — Harmony Auto yang merupakan kumpulan pengedar kenderaan terkemuka dari China hari ini telah melancarkan Pusat BYD yang pertama di Hartamas Shopping Centre.

Dengan keluasan ruang sekitar 8,000 kaki persegi, Pusat BYD ini menyediakan pelbagai kemudahan yang diwujudkan untuk memperkaya pengalaman pelanggannya. Ia antara lain terdiri daripada ruang pamer kenderaan yang cukup luas, ruang menunggu yang mewah untuk pelanggan, bilik rundingan khas serta ruang serahan kenderaan.

Untuk lebih selesa, ruang menyambut pelanggan bagi urusan lepas jualan — yang menggabungkan reka bentuk moden dengan proses servis khusus untuk setiap pelanggan — bersambung terus dari tempat letak kereta pusat beli-belah.

Terdapat enam tempat letak kereta turut tersedia di luar, dengan setiap satunya dilengkapi empat pengecas untuk dimanfaatkan oleh pemilik BYD. Dengan pelan reka bentuk yang teliti, pusat ini bukan sahaja memudahkan capaian pelanggan, tetapi turut mencerminkan kesungguhan BYD terhadap penyelesaian mobiliti mapan.

pusat byd

Pengurus Besar BYD Asia-Pasifik, Liang Xinyue melancarkan premis berkenaan berkata: “Pembukaan Pusat BYD Hartamas di Hartamas Shopping Centre ini bukan sahaja membawa aura segar ke pasaran Malaysia, tetapi turut menyuntik momentum baharu dalam memperkenalkan mobiliti hijau di Malaysia.”

Tambah beliau, lokasi itu sesuai kerana ia menawarkan kemudahan membeli-belah produk BYD sekaligus urusan servis kereta pelanggan. Liang percaya pelanggan BYD di Hartamas dan kawasan sekitar semakin bertambah jumlahnya dan pembukaan pusat baharu ini bertujuan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang ingin mencari kenderaan mesra alam.

Sebagai peneraju global bagi kenderaan tenaga baharu, BYD berdedikasi untuk menyediakan penyelesaian mobiliti hijau termaju di seluruh dunia. Dengan sokongan dasar kerajaan yang menggalakkan, pasaran kenderaan tenaga baharu di Malaysia mempunyai potensi yang cukup besar.

Oleh itu, kerjasama dengan Harmony Auto akan membantu mempopularkan kenderaan tenaga baharu di Malaysia yang sejajar dengan matlamat negara untuk pengangkutan mapan.

Ketika ini, model BYD yang dijual di pasaran Malaysia ialah BYD Atto 3, BYD Dolphin dan BYD Seal.

pusat byd

Pusat BYD Harmony Auto juga dilengkapi dengan Pusat Servis dan Alat Ganti yang akan siap pada suku ke-empat tahun ini. Dengan pusat 3S beroperasi sepenuhnya, Pusat BYD ini akan menjadi pusat 3S pertama yang terletak di dalam pusat beli-belah.

Pada masa akan datang, kedua-dua pihak akan mengukuhkan lagi kerjasama dengan membuka lebih banyak cawangan BYD di Malaysia dan bersama-sama mengembangkan lagi pasaran kenderaan tenaga baharu di Malaysia.

Sempena perasmiannya, Harmony Auto turut menyerahkan 10 unit BYD kepada pelanggan terbaharunya sebagai memenuhi janji penghantaran kereta dalam tempoh segera.

Langkah yang menerima pujian daripada pelanggan ini tidak hanya menujukkan keyakinan BYD terhadap produknya, tetapi juga terhadap pasaran Malaysia serta tindak balas pantasnya dalam memenuhi permintaan pengguna.

Nurul Naqiyah