Siakap Keli

Inisiatif Kajian Semula Kerangka Perundangan E-Dagang 

Inisiatif Kajian Semula Kerangka Perundangan E-Dagang

PETALING JAYA, 27 JUN 2024 – Hari ini saya telah merasmikan Majlis  Penutup Shopee Seller Summit 2024 yang dianjurkan oleh Shopee Mobile Malaysia Sdn. Bhd. bertempat di Petaling Jaya, Selangor. 

Bertemakan “Beyond the Cart: Crafting Connections for Long Term Business  Growth”, program ini bertujuan membuka peluang kepada para usahawan tempatan di bawah platform Shopee untuk mengukuhkan pengetahuan dan kemahiran mereka berkaitan perkembangan teknologi baru perniagaan atas  talian melalui perkongsian amalan baik daripada peneraju perniagaan. Shopee  Seller Summit 2024 ini melibatkan penyertaan hampir 1,000 usahawan atas  talian di platform Shopee daripada seluruh negara.  

Selaras dengan tanggungjawab menjana pertumbuhan ekonomi domestik yang  mampan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sentiasa komited menyokong inisiatif daripada pemain-pemain industri  seperti Shopee Malaysia. Antaranya melalui agenda meningkatkan potensi dan  daya saing usahawan tempatan, selain mempertingkatkan pertumbuhan  ekonomi domestik melalui platform digital yang sedang pesat berkembang. 

Berdasarkan Laporan Malaysia Digital Economy 2023 yang dikeluarkan oleh  Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor e-dagang di Malaysia sedang berkembang dengan pesat. Pada tahun 2021, sektor e-dagang di Malaysia  telah mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM1,037.2 billion dan telah  meningkat sebanyak 6% kepada RM1,099.7 billion pada tahun 2022.

Jumlah  pendapatan ini telah melepasi angka satu trillion buat pertama kalinya sejak  tahun 2021. 

Kementerian menyedari bahawa perkembangan pesat sektor e-dagang ini juga  telah mewujudkan cabaran yang besar kepada pemain industri dan juga  pengguna khususnya. Sehingga 31 Mei 2024, kementerian telah menerima  sebanyak 5,094 aduan pengguna berkaitan transaksi e-dagang daripada  19,937 keseluruhan aduan yang diterima sejak 1 Januari 2024.

perundangan e-dagang

Aduan  berkaitan transaksi atas talian ini merupakan aduan pengguna yang tertinggi  atau 25% berbanding aduan lain yang dicatatkan oleh KPDN pada masa ini. 

Sehubungan dengan itu, KPDN mengambil langkah proaktif dengan  melaksanakan semakan semula kerangka perundangan sedia ada seperti Akta  Perdagangan Elektronik 2006, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan  Peraturan Perlindungan Pengguna (Transaksi Perdagangan Elektronik) 2012  seiring dengan kemajuan dan perkembangan teknologi semasa.

Usaha  semakan semula kerangka perundangan sedia ada ini adalah selaras dengan  hala tuju kerajaan di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia,  National E-Commerce Strategic Roadmap (NESR), Rancangan Malaysia Ke 12 dan Agenda Ekonomi MADANI. 

perundangan e-dagang

KPDN sedang melaksanakan Kajian Semula Perundangan e-dagang bersama pasukan perunding pada bulan Mei 2024 dan dijangka selesai pada suku kedua  tahun 2025. Satu kerangka perundangan baharu bagi mengawal selia sektor e dagang dengan lebih berkesan dijangka akan diperkenalkan pada suku ketiga  tahun 2025. 

Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif untuk melaksanakan reformasi  undang-undang bagi memastikan satu kerangka perundangan e-dagang yang  lebih komprehensif sejajar dengan perkembangan teknologi dan tuntutan semasa.

Untuk itu, KPDN berharap semua pemain industri terutamanya di bawah sektor e-dagang memberikan pandangan dan saranan untuk  menyokong inisiatif Kerajaan menyemak semua kerangka perundangan sedia  ada dalam memastikan sektor ini terus memacu pertumbuhan ekonomi negara.

KPDN komited dan sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh pemain-pemain industri e-dagang di negara ini demi mewujudkan perdagangan  dalam negeri yang sihat dan progresif serta mampu meningkatkan pendapatan  rakyat dan negara. 

Nurul Naqiyah