Siakap Keli
rang undnag-undang
Sumber : BERNAMA

Rang Undang-undang Kecekapan Dan Konservasi Tenaga 2023 Diluluskan Bakal Beri Manfaat Kepada Negara 

Rang Undang-undang Kecekapan Dan Konservasi Tenaga 2023 Diluluskan Bakal Beri Manfaat Kepada Negara

PUTRAJAYA, 27 JUN 2024 – Rang Undang-Undang (RUU) Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 atau Energy Efficiency and Conservation Act (EECA) bagi menggubal akta untuk mengawal selia penggunaan tenaga secara cekap dan konservasi tenaga telah diluluskan oleh Parlimen pada 25 Jun 2024.

Rang Undang-Undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 ini akan menyokong inisiatif peralihan tenaga ke arah mencapai aspirasi pelepasan gas rumah kaca (GHG) bersih sifar menjelang tahun 2050 oleh sektor berkaitan tenaga.

Sebagai salah satu inisiatif utama di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), RUU EECA ini akan memberi penekanan dari aspek pengurusan permintaan tenaga khususnya penggunaan tenaga dengan cekap dan berkesan.

Melalui penguatkuasaan RUU ini ke atas sektor industri, komersial dan domestik hingga tahun 2050, Malaysia mampu menjimatkan penggunaan tenaga yang dianggarkan berjumlah 2,017 juta Gigajoule atau bersamaan
RM97.1 bilion dan secara langsung mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 197,877 kilo tan karbon dioksida.

Sebanyak 1,000 peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan sebagai pengurus tenaga berdaftar dan juruaudit tenaga berdaftar iaitu tambahan kepada pengurus tenaga dan juruaudit tenaga sedia ada.

Selain itu, RUU ini juga akan menggalakkan pewujudan institusi latihan dan kemahiran serta syarikat perkhidmatan tenaga untuk melatih lebih ramai pengurus tenaga dan juruaudit tenaga yang diperlukan oleh sektor industri dan komersial. Pindaan kepada RUU yang diluluskan oleh Dewan Rakyat ini hanya terpakai kepada Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan sahaja dan mengecualikan pemakaian kepada negeri Sabah dan Sarawak.

Nurul Naqiyah