Siakap Keli
Gambar: Siakap Keli / Bernama

Tekanan Kewangan Jejaskan Produktiviti Pekerja – Kajian Kesejahteraan Kewangan & Produktiviti Pekerja AKPK

Kuala Lumpur, 28 Jun – Kajian Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendapati majoriti daripada golongan Dewasa Bekerja Malaysia yang mengalami tekanan kewangan turut berhadapan gangguan dalam prestasi kerja mereka.

Dapatan ini dikongsikan CEO AKPK, Azaddin Ngah Tasir dalam ucapannya semasa Konferens Kesejahteraan Kewangan atau Financial Well-Being Conference yang dianjurkan AKPK pada 26 hingga 27 Jun lalu di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur.

“Kajian kami di AKPK mengesahkan bahawa wang dan kesejahteraan mental berkait rapat. Sebanyak 26% daripada Dewasa Berkerja Malaysia mengalami tekanan kewangan dalam pelbagai tahap, dan 65% daripada mereka menyatakan tekanan kewangan telah memberi kesan terhadap prestasi kerja mereka.

“Bayangkan betapa banyak produktiviti yang dapat kita tingkatkan jika kita dapat mengurangkan peratusan itu kepada kadar yang lebih rendah,” katanya memetik laporan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Pendidikan Kewangan AKPK (FEWRC) yang bertajuk ‘From Nine to Five: Navigating Employees’ Financial Well-Being at the Workplace’.

Memetik laporan FEWRC, 70 peratus golongan Dewasa Bekerja Malaysia atau Malaysian Working Adults (MWA) yang memiliki kesejahteraan kewangan terendah mempunyai masalah kurang produktiviti manakala 78 peratus daripada mereka yang mempunyai kesejahteraan kewangan tertinggi didapati lebih produktif.

Laporan dari ‘From Nine to Five: Navigating Employees’ Financial Well-Being at the Workplace’

Malah, pekerja yang mempunyai kesejahteraan kewangan juga cenderung lebih setia dengan majikan dan tempat kerja mereka.

“Apabila kesejahteraan kewangan seseorang meningkat, kesetiaan pekerja juga meningkat, membentuk tenaga kerja yang lebih stabil dan komited.

“Penemuan kami mendapati bahawa 91% Dewasa Berkerja Malaysia dengan kesejahteraan kewangan tinggi adalah setia kepada syarikat mereka, sementara 89% daripada mereka yang memiliki kesejahteraan kewangan yang rendah sedang mencari peluang pekerjaan baru secara aktif,” tambah Azaddin.

Laporan dari ‘From Nine to Five: Navigating Employees’ Financial Well-Being at the Workplace’

Jelas beliau, wang tidak dapat membeli kesetiaan, namun kesejahteraan kewangan dapat mendorong kesetiaan pekerja kerana kedua-duanya berkait rapat.

Memahami kepentingan kesejahteraan kewangan dalam kalangan para pekerja dan syarikat, AKPK melancarkan laporan FEWRC sebagai panduan bagi mana-mana organisasi untuk meningkatkan produktiviti pekerja mereka.

Program bertemakan “Level Up! Your Mind, Your Body, and Your Money” itu telah menyasarkan golongan profesional khususnya bahagian sumber manusia (HR) dari agensi dan syarikat yang menjadi rakan kerjasama AKPK.

Acara ini telah dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan, YB Dato Lukanisman Awang Sauni serta dihadiri pakar-pakar penting terdiri daripada CEO HRD Corp, Datuk Wira Shahul Dawood serta personaliti awam antaranya Datuk Shalin Zulkifli, Kevin Zahri dan Douglas Lim.

Amira

Love yourself.