Siakap Keli
Kambing sahabat rania
Gambar: Sinar Harian

Kambing Ternakan Ayah Kini Sahabat Baik Rania 

Kambing Ternakan Ayah Kini Sahabat Baik Rania 

KUALA NERUS, 2 Julai (Bernama) — Jika sebelum ini kisah ‘Mowgli Malaysia’ atau Muhammad Syukur Khamis, seorang remaja lelaki ‘bersahabat’ baik dengan kerbaunya meraih perhatian ramai, kini tumpuan  tertumpu kepada kanak-kanak perempuan Wan Rania Amanda Wan Mohd Faizal.

Murid tahun lima di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 itu mencipta keakraban luar biasa dengan 228 ekor kambing yang diternak ayahnya Wan Mohd Faizal Wan Zulkefli, 37, di Kampung Baroh Tok Jiring, di sini.

Wan Rania Amanda,11, atau lebih mesra dipanggil Rania berkata minatnya terhadap haiwan itu bermula ketika berkunjung ke rumah ibu saudaranya sewaktu berusia tujuh tahun.

Kambing sahabat rania
Gambar: Sinar Harian

Tertarik dengan kecomelan kambing-kambing di situ membuatkan anak sulung daripada lima beradik itu mula memasang impian untuk turut membela haiwan berkenaan dan bersyukur kerana ayahnya mula menternak haiwan itu pada tahun 2020 sebagai sumber pendapatan tambahan.

“Kambing ini comel jadi saya suka bermain dengan mereka. Awal-awal dulu lagi saya memang tiada rasa takut. Saya sentiasa gembira bila berada dekat dengan mereka, bahkan kalau di sekolah saya sentiasa teruja untuk balik dan mengikut ayah ke kandang.

BACA: Hajat Rasmi Pembukaan Tak Kesampaian, Barber Namakan Kedai “Manros” Sempena Nama Ibu Bapa

“Kadang-kadang bila saya demam pun, kalau ayah ajak ke ladang pun saya semangat untuk pergi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Gambar: Sinar Harian

Rania yang meminati mata pelajaran Sains dan bercita-cita menjadi ahli veterinar berkata jika tidak ke kandang ayahnya dia masih mempunyai dua ekor kambing kerdil daripada baka Nigerian Dwarf yang diberi nama Rague dan Jane sebagai ‘teman’ untuk mengisi masa lapang di rumah.

Berkat minat dan cinta terhadap haiwan itu dan juga hasil didikan ayahnya, Rania kini sudah mahir memberi makan dan memerah susu kambing di kandang dan tahu untuk memberi ubat yang sesuai sekiranya haiwan itu dijangkiti penyakit seperti sakit perut dan cirit-birit.

Wan Mohd Faizal berkata dia berbangga melihat anaknya yang boleh berkawan baik dengan haiwan ternakannya itu sedangkan kanak-kanak lain seusia Rania mungkin masih berasa takut.

“Anak saya sebenarnya memang cintakan binatang. Sebelum dia bermain dengan kambing ini, dia memang sudah ada haiwan peliharaan lain seperti hamster, kura-kura, burung dan kuda.

Gambar: Sinar Harian

BACA JUGA: Ayah Sarung Maskot, Jadi Penghibur Jalanan Cari Duit “Extra” Sara Keluarga

“Dan dia serius berjinak dengan kambing selepas patah tangan akibat terjatuh ketika menunggang kuda peliharaannya ketika berusia tujuh tahun. Disebabkan itu, saya jual kuda berkenaan dan beli lebih banyak kambing sebelum dekatkan dia dengan haiwan ini,” katanya.

Memandangkan anaknya itu menunjukkan minat mendalam terhadap haiwan dan tidak kekok ‘bermesra’ dengan ternakannya itu, Wan Mohd Faizal mula mendedahkan  Rania  secara lebih serius dalam bidang penternakan.

“Saya lihat dia seperti ada kebolehan untuk memahami binatang. Bila saya dedahkan dia kepada kaedah menguruskan kambing, dia seolah-olah boleh menyesuaikan diri dengan baik. Dia kini boleh beri makan dan kalau ada yang sakit perut atau cirit-birit pun dia sudah tahu rawatan apa yang perlu diberikan.

“Jadi, saya boleh harapkan dia untuk bekerja di kandang. Saya mahu dia jadi berilmu untuk menternak haiwan. Bagusnya, bila dia bersama kambing-kambing ini dia boleh hiraukan gajet. Cuma kini dia gunakan gajet untuk tujuan pembelajaran, misalnya mencari maklumat cara merawat haiwan sekiranya berlaku situasi yang tidak diinginkan,” katanya.

Gambar: Sinar Harian

Apa yang lebih membanggakan, Wan Mohd Faizal berkata anaknya itu juga berjaya mencipta keuntungan sendiri apabila berhasil menjual 25 ekor anak kambing menerusi aplikasi Tiktok dan mampu meraih keuntungan  sehingga RM2,500 pada tahun lepas.

Bahkan, Rania juga boleh bersaing secara sihat dengan dua pekerja di ladang untuk membuat jualan masing-masing.

“Di kandang, saya layan mereka sama-rata. Saya sentiasa beri mereka peluang untuk buat keuntungan sendiri, jadi Rania dah terdedah dengan persaingan dalam perniagaan ini. Bagi saya, sektor ternakan kambing ini adalah bonus kepada pekerja. Siapa rajin dia berhak dapat lebih…dan Alhamdulillah, Rania boleh menyesuaikan diri dengan pekerja saya yang lain,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"