Siakap Keli
komen kita ada hate speech

Macam Mana Nak Tahu Komen Kita Ada ‘Hate Speech’, Jaga-jaga 3 Unsur Ini Sebelum Korang ‘Dipantau’

Macam Mana Nak Tahu Komen Kita Ada ‘Hate Speech’, Jaga-jaga 3 Unsur Ini Sebelum Korang ‘Dipantau’

Sosial media sememangnya memberikan pelbagai manfaat kepada ramai orang, namun jangan lupa platform ini juga menjadi medan untuk seseorang individu terdedah kepada perkara yang negatif. Antaranya sesuatu yang berunsurkan ucapan kebencian. Mungkin agak janggal dengan frasa tersebut atau korang lebih gemar menggelarnya sebagai ‘hate speech’, namun perkara yang lebih penting adalah kesannya yang bakal menjadi barah jika tiada yang membendungnya.

“Ucapan Kebencian” merujuk kepada apa-apa komunikasi yang menghina seseorang hanya disebabkan kaum, etnik, agama, kewarganegaraan, jantinan, orientasi seksual atau kecacatannya.

Tiga Unsur Ucapan Kebencian

Merujuk kepada Kod Kandungan yang dibukukan oleh Content Forum (CMCF), ucapan kebencian boleh merujuk kepada gambaran dalam bentuk perkataan, ucapan, gambar dan lain-lain yang mempunyai 3 unsur ini:-

1. Merendah-rendahkan

2. Memfitnah

3. Menjatuhkan maruah seseorang atau kumpulan berdasarkan kaum, etnik, agama, kewarganegaraan, jantina, kecenderungan seks atau ketidakupayaan.

komen kita ada hate speech

Secara mudahnya, sekiranya terdapat huraian terhadap mana-mana kumpulan tersebut atau ahli-ahlinya dengan menggunakan bahasa keras, kasar, rujukan seksual yang jelas ataupun isyarat lucah, ia dianggap sebagai ucapan yang bernada kebencian.

Apa yang terjadi dalam kehidupan segelintir masyarakat sekarang ialah mereka seolah-olah tidak menyedari perkara yang dilontarkan mempunyai unsur-unsur ‘hate speech’. Disebabkan itulah terdapat bahana sekiranya ucapan kebencian dibiasakan dalam kehidupan seharian.

Menurut Infografik Content Forum sempena International Day For Countering Hate Speech, ucapan kebencian boleh membawa kemudaratan kepada seseorang individu. Antaranya adalah boleh menyebabkan mangsa rasa terasing, terhina, cemas dan terancam serta membisu. Bukan itu sahaja, gejala ini juga boleh menyumbang kepada kemurungan, kebimbangan, dan juga gangguan tekanan pascatrauma (PTSD). Tambah infografik itu, sekiranya kerap kali menjadi sasaran, mangsa mungkin akan mempersoalkan identiti dan maruah diri mereka.

komen kita ada hate speech

Bagaimana ucapan kebencian membawa kemudaratan kepada masyarakat

Mungkin ada yang tidak menyangka, dengan hanya satu atau dua perkataan sudah cukup untuk mengkategorikan sesuatu ucapan itu berunsur kebencian. Sebagai contoh, seorang individu meninggalkan komen berbaur perkauman dalam talian. Kemudian, saksi dan penyokong kumpulan yang dihina berasa marah dan kecewa lantas munculnya rasa tidak puas hati antara komuniti. Akhirnya, perkara ini boleh diumpamakan seperti ‘rosak badan kerana penyakit, rosak bangsa kerana laku’ yang menjejaskan perpaduan dalam masyarakat sekiranya tiada tindakan yang diambil.

Tahu tak, menurut kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada Mac lalu, terdapat 2,004 kandungan telah diturunkan kerana melibatkan ucapan berbaur kebencian dan menyentuh aspek 3R dan berpotensi cetuskan keganasan.

“Sejumlah 2,004 kandungan melibatkan ucapan berbaur kebencian dan

menyentuh aspek 3R (raja, agama dan kaum) yang berpotensi mencetuskan

keganasan dan diskriminasi telah diturunkan sejak Januari 2023 hingga kini.

Sementara, sejumlah 479 kandungan provokasi dan 3R telah diturunkan sejak 13 Mac

hingga kini.”

Apa perlu buat bila berhadapan dengan ucapan kebencian?

Sosial media sememangnya satu platform untuk semua orang meluahkan pelbagai perkara. Jangan tak sangka, korang juga mungkin menjadi mangsa ucapan kebencian, lagi-lagi sekiranya aktif menurunkan komen walaupun korang rasanya ia berbentuk positif.

Jikalau menjadi mangsa ataupun saksi ucapan kebencian, apa yang perlu dilakukan? Perkara pertama yang paling penting adalah menghentikan segala interaksi atau tidak membalas sebarang komen pada waktu itu.

komen kita ada hate speech

komen kita ada hate speech

Walau apa-apa pun, mangsa perlu mendapat sokongan ataupun solidariti daripada orang sekeliling agar mereka tidak mempersoalkan tentang identiti ataupun maruah diri mereka.  Yang penting, jika sudah ada bukti dan keperluan mendesak, korang perlulah melaporkan kepada pihak yang berkaitan agar isu tersebut tidak berlarutan.

Bak ungkapan Antonio Guterres, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), “ucapan kebencian seperti loceng – semakin kuat bunyinya, semakin besar ancaman genosid.”

Nak jadi netizen yang aktif berinteraksi tu tak salah, tapi jadilah netizen yang membawa manfaat dan bukannya yang terjerumus di dalam kancah ucapan kebencian.

Sentiasalah beringat kerana persis “peribahasa” kontemporari, “apa yang ada internet, selamanya di internet,” yang bermaksud walaupun komen atau kandungan anda boleh dipadam, tapi jejak dan buktinya tidak. Ingat, seandainya ada komen berbaur kebencian dilaporkan pada pihak berkuasa, anda boleh dikenakan undang-undang. Menyesal di kemudian hari pun dah tak guna. Kata orang lama, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.’ 

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa