KBS Teruskan Inisiatif Intervensi Sosial Menerusi Projek Reben Kuning Bagi Tahun 2024
1. Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh telah bertemu dan beramah mesra dengan peserta program Projek Reben Kuning Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Tahun 2024 bertempat di Penjara Wanita Kajang, hari ini.
2. Program Projek Reben Kuning merupakan sebuah inisiatif intervensi sosial oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia. Program ini dianjurkan untuk memberi peluang kedua kepada prospek belia serta penghuni Sekolah Henry Gurney menerusi program-program latihan pembangunan kemahiran yang mempunyai pasaran kerjaya dan peluang keusahawanan.
3. Program Projek Reben Kuning bagi tahun 2024 mempunyai objektif seperti berikut:
3.1 menyediakan program pembangunan kemahiran bagi membantu peserta mendapat pekerjaan dan kemudiannya menjalani kehidupan yang lebih baik setelah tamat tempoh tahanan;
3.2 memperkukuh jalinan kerjasama rentas agensi kerajaan dalam pelaksanaan inisiatif intervensi sosial belia; dan
3.3 membina persepsi positif masyarakat terhadap prospek belia serta penghuni Sekolah Henry Gurney seterusnya membantu mereka untuk membina kehidupan lebih baik.
4. Bagi edisi tahun 2024, sebanyak 22 kursus latihan kemahiran ditawarkan di seluruh negara bermula bulan Julai hingga Ogos yang akan melibatkan 300 orang peserta. Perincian pelaksanaan kursus adalah seperti di LAMPIRAN A.
5. Pada hari ini, seramai 20 orang prospek belia wanita dari Penjara Wanita Kajang telah selesai mengikuti Kursus Terapi Urutan Sukan Golf dan Kursus Asas Operasi Kedi Golf di bawah Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG), KBS yang telah dijalankan dari 7 hingga 10 Julai 2024.
6. YB Menteri Belia dan Sukan turut menyampaikan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) Tahap Gangsa kepada 6 orang prospek belia wanita di Penjara Wanita Kajang. ARPRM merupakan sebuah program ikonik bertaraf antarabangsa yang mengguna pakai model The Duke of Edinburgh’s International Award khas untuk belia berusia antara 14 hingga 25 tahun
7. Untuk mendapat tahap gangsa, peserta perlu melengkapkan beberapa komponen termasuklah Kemahiran, Rekreasi Fizikal, Penjelajahan Lasak dan Khidmat Masyarakat. Anugerah ARPRM ini dapat meniup semangat positif kepada para pemenang dalam memperkasakan pembangunan diri dan menjadi inspirasi kepada kumpulan belia berisiko.
8. Pelaksanaan projek ini diharapkan menjadi platform perubahan terbaik kepada peserta terutamanya kumpulan belia berisiko seterusnya memperkukuhkan ekosistem pembangunan belia selaras dengan Model Pembangunan Belia MADANI 2030 (MPBM 2030) dan kerangka Malaysia MADANI.
9. Majlis turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, YBrs. Tuan Mohd Azhari Mohammad.
10. Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berhubung penganjuran program ini, sila hubungi JBSN melalui talian 03-8871 3463 atau e-mel [email protected].