“Semoga Rohnya Dicucuri Rahmat,” UPSI Ucap Takziah Kepada Keluarga Nur Farah Kartini
Berita penemuan mayat seorang wanita berhampiran Felda Gedangsa semalam, dipercayai Nur Farah Kartini Abdullah yang hilang sejak 10 Julai lalu ternyata mengejutkan banyak pihak.
Apatah lagi, orang ramai memang mengikuti rapat perkembangan kes ini sejak berita kehilangan Nur Farah dilaporkan media tempatan.
Dalam pada itu, Nur Farah difahamkan merupakan alumni graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) Dengan Kepujian dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Justeru, perkembangan terkini kes ini tentu sahaja turut mengejutkan pihak universiti yang menjadi tempat Nur Farah menuntut ilmu sebelum ini.
Menerusi hantaran di laman X rasmi @UPSI_Malaysia, pihak pentadbiran universiti tersebut mengucapkan takziah kepada keluarga Nur Farah.
“Takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Nur Farah Kartini Binti Abdullah.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” ujar @UPSI_Malaysia.
UPSI ucap takziah kepada keluarga Nur Farah Kartini
Menjengah ke ruang komen hantaran tersebut, ramai warganet turut terkesan dengan pemergian wanita muda tersebut.
“Semoga arwah Nur Farah Kartini binti Abdullah diampunkan dosa dan ditempatkan di kalangan org yg beriman, aamiin,” komen seorang wargamaya.
“Salam takziah. Semoga pemergiannya terbela,” komen seorang lagi wargamaya.
Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Kehilangan mangsa dilaporkan polis pada 11 Julai lepas
Sebelum ini SK melaporkan, Polis Daerah Mualim memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang wanita yang dilapor hilang sejak 10 Julai.
Menurut kenyataan media yang dimuat naik di laman Facebook, Nur Farah Kartini Abdullah yang berusia 25 tahun hilang sejak 10 Julai dengan lokasi terakhirnya di Taman Universiti, Tanjung Malim.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd. Hasni Mohd. Nasir ketika itu berkata pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan wanita berkenaan kira-kira 1.56 pagi, pada 11 Julai.
Bagaimanapun semalam, media melaporkan penemuan mayat seorang wanita dipercayai milik Nur Farah berhampiran Felda Gedangsa, Kuala Kubu Baharu.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mayat dipercayai Nur Farah Kartini ditemui sekitar jam 6 petang.
Beliau turut memaklum kes berkenaan kini dalam siasatan polis dan tangkapan sudah pun dibuat.
BACA: Dipercayai Dibunuh, Mayat Nur Farah Kartini Ditemui Di Kuala Kubu Baharu
BACA: Kes Nur Farah Kartini: Polis Tahan Seorang Penjawat Awam
BACA: Dua Remaja Lemas Ketika Mandi Di Air Terjun Bersama Rakan
Sumber: @UPSI_Malaysia via X