25 Syarikat Korporat Tunai Zakat Perniagaan Kepada PPZ-MAIWP
KUALA LUMPUR, 16 JULAI 2024: Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini menerima bayaran Zakat Perniagaan berjumlah RM55,457,640.75 daripada 25 syarikat dalam Majlis Zakat Korporat 2024.
Penganjuran majlis ini adalah simbolik penyerahan zakat perniagaan syarikat-syarikat
korporat di Wilayah Persekutuan kepada PPZ-MAIWP bagi haul 2022, 2023 dan 2024.
Berikut adalah 25 buah syarikat yang menunaikan Zakat Perniagaan mereka pada majlis hari ini:
1. AG Nutrition International Sdn Bhd : RM 149,360.14
2. Amanah Hartanah Bumiputera : RM 3,844,539.31
3. Bank Islam Malaysia Berhad : RM 5,370,000.00
4. Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad : RM 2,444,953.00
5. Bank Muamalat Malaysia Berhad : RM 2,568,490.11
6. CelcomDigi Berhad : RM 645,380.00
7. Chuping Energy Sdn Bhd : RM 118,000.00
8. Co-opbank Pertama Malaysia Berhad : RM 3,374,244.00
9. Etiqa Family Takaful Berhad : RM 1,200,000.00
10. Etiqa General Takaful Berhad : RM 1,300,000.00
11. GNI Pharma Sdn Bhd : RM 200,000.00
12. Hong Leong Islamic Bank Berhad : RM 350,000.00
13. Kumpulan Wang Sumbangan Modal
Pembetungan (KWSMP) : RM1,910,777.00
14. Kenanga Investment Bank Berhad : RM 213,549.16
15. Koperasi Permodalan Felda Malaysia 2 Berhad : RM 1,649,794.00
16. Lembaga Tabung Haji : RM 8,831,760.47
17. Maybank Islamic Berhad : RM 1,217,949.02
18. PMB Tijari Berhad : RM166,623.00
19. Rakyat Holdings Sdn Bhd : RM 68,715.30
20. Sime Darby Property Berhad : RM 500,000.00 21.Sun Life Malaysia Takaful Berhad : RM 300,010.00
22. Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) : RM 571,213.24
23. Suruhanjaya Perkhidmatan Air Nasional (SPAN) : RM 463,864.00
24. Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) : RM 15,300,000.00
25. Zurich General Takaful Malaysia Berhad : RM 2,698,419.00
Penyerahan zakat perniagaan tersebut disampaikan oleh wakil setiap syarikat kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Haji Abdul Hakim Amir Osman dan disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwan Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dan Pengerusi MAIWP, Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, YBhg. Datuk Mohd Nizam Yahya serta Setiausaha MAIWP merangkap Pengarah JAWI, YBhg. Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwan Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar di dalam ucapannya berkata kutipan zakat setakat Januari hingga Jun 2024 meningkat 10% iaitu sebanyak RM511 juta berbanding RM462 juta dalam tempoh yang sama pada tahun 2023.
“Dari jumlah keseluruhan zakat ini, RM75 juta (15%) adalah daripada kutipan Zakat Perniagaan. Ini menjadi petunjuk kepada kesedaran syarikat-syarikat untuk menunaikan kewajipan agama Islam selain ibadah zakat terus dilihat sebagai kewajipan utama yang perlu dilaksanakan,” katanya.
“Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Syarikat yang telah memastikan syarikat-syarikat mereka dapat menunaikan zakat perniagaan mereka pada tahun ini”, tambahnya lagi.
Diharapkan mesej berzakat ini dapat dipanjangkan kepada syarikat-syarikat lain agar dapat meningkatkan kutipan zakat dan secara tidak langsung dapat memperkasakan lagi ekonomi masyarakat Islam di Malaysia.
Selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), beliau akan memastikan PPZ dan MAIWP dapat menjalankan fungsinya dengan baik sama ada dalam memberi kesedaran kepada masyarakat dalam melaksanakan Rukun Islam ini termasuklah dalam urusan agihan zakat serta bantuan-bantuan kepada asnaf dan mereka yang berkelayakan.
Dalam pada itu, pihaknya juga menyeru orang ramai agar turut bergandingan dalam melaksanakan ibadah wakaf. PPZ-MAIWP telah menyediakan saluran wakaf secara dalam talian melalui www.wakafppz.com.my di mana orang ramai boleh memilih mana mana projek untuk berwakaf.
PPZ-MAIWP turut menawarkan Skim Wakalah atau Pengembalian Semula Wang Zakat untuk dimanfaatkan semula kepada mereka yang memerlukan.
Pembayaran zakat perniagaan serendah RM10,000 dan ke atas boleh mendapat pulangan semula wang zakat bermula 37.5% sehingga 50% untuk diagihkan sendiri kepada asnaf yang memerlukan.