Siakap Keli
wang pendahuluan pinjaman ptptn
Penerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) bergambar bersama Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN ketika Majlis Penyerahan WPP PTPTN di Royale Chulan, Penang.

Wang Pendahuluan Pinjaman PTPTN Beri Manfaat Kepada 34,346 Pelajar Baharu IPTA Dan Politeknik

Wang Pendahuluan Pinjaman PTPTN Beri Manfaat Kepada 34,346 Pelajar Baharu IPTA Dan Politeknik

1. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai agensi di  bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited memastikan tiada pelajar  yang tercicir ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Politeknik kerana masalah  kewangan. Pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500 kepada setiap pelajar yang layak adalah bertujuan untuk menampung sebahagian  perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar memasuki IPTA dan Politeknik sekali gus  menjaga kebajikan para pelajar.

2. WPP ini diberikan kepada pelajar-pelajar warganegara Malaysia yang telah  memberikan persetujuan menerima WPP semasa membuat permohonan kemasukan  IPTA dan Politeknik melalui UPUOnline atau melalui portal kemasukan IPTA. Selain itu,  ibu bapa atau penjaga pelajar juga merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah  (STR) serta memenuhi kriteria kelayakan yang telah ditetapkan. Semenjak WPP  diperkenalkan pada tahun 1999 hingga 30 Jun 2024, seramai 980,107 pelajar telah  menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.45 bilion.

3. Bagi kemasukan pelajar peringkat Diploma ke IPTA dan Politeknik Sesi Julai  2024, seramai 34,346 pelajar telah ditawarkan WPP yang melibatkan peruntukan  berjumlah RM51.5 juta. Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui aplikasi  myPTPTN dan boleh menunaikan WPP tersebut di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad  (BIMB) di seluruh negara mulai 18 Julai 2024 dengan membawa surat tawaran WPP  dan juga MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan). Tempoh sah laku WPP adalah  selama dua (2) bulan bermula 18 Julai 2024 hingga 17 September 2024.

4. Penyerahan WPP kepada pelajar-pelajar yang hadir pada hari ini telah  disempurnakan oleh YBhg. Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN. Turut hadir Puan Wan Zawiah Wan Abu Bakar, Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi  Korporat dan Pemasaran PTPTN dan Encik Muhammad Muhsin Abdul Rahman,  Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang.

5. Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, “Inisiatif pemberian WPP ini adalah untuk membantu menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal  pelajar dan ibu bapa kerana kita percaya tidak semua mampu menghantar anak-anak  ke IPT kerana memerlukan sumber kewangan yang tinggi. Gunalah peluang yang  diberikan ini sebaik mungkin dan tunjukkanlah rasa terima kasih dengan belajar  bersungguh-sungguh sehingga menjadi modal insan kepada negara.”

wang pendahuluan pinjaman ptptn
Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN (tengah) menyerahkan replika kad WPP berjumlah RM1,500 kepada salah sorang pelajar.

6. “Di Negeri Pulau Pinang seramai 1,434 orang pelajar ditawarkan WPP dengan  peruntukan berjumlah RM2.2 juta. Manakala, bagi kawasan Bukit Gelugor sahaja,  seramai 82 pelajar telah ditawarkan WPP melibatkan peruntukan berjumlah  RM123,000. Tahniah dan syabas kepada semua pelajar-pelajar di atas kejayaan  melangkah ke menara gading,” tambah beliau lagi.

7. Untuk makluman, para pelajar boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN  secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN mengikut tarikh permohonan yang  ditetapkan bagi setiap IPTA dan Politeknik untuk memastikan pinjaman dapat diproses  dan diluluskan sewajarnya. Pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu  mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh  dibuka melalui aplikasi myPTPTN.

8. Para pelajar boleh merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPTA dan Politeknik masing-masing atau terus menghubungi PTPTN sekiranya terdapat sebarang pertanyaan. Maklumat lanjut berkenaan WPP PTPTN dan pinjaman PTPTN juga boleh  diperoleh melalui aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat.

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.