Polis Kesan Kanak-Kanak Perempuan Enam Tahun Dilapor Hilang
Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dilaporkan hilang dipercayai ketika bermain di sebuah pusat perniagaan di Iskandar Puteri pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan, memaklumkan bahawa mangsa, Albertine Leo Jia Hui, disedari hilang oleh bapanya sekitar jam 8.30 malam.
Menurut beliau, pihak polis kini sedang giat menjalankan usaha pencarian serta membuat hebahan mengenai kehilangan tersebut.
“Lokasi terakhir kanak-kanak itu adalah di Eko Galleria 3, Jalan Eko Botani 3/2, Taman Botani di sini.
“Mangsa berketinggian 120 sentimeter bertubuh kurus sederhana dan berambut panjang berwarna hitam.
“Ketika hilang mangsa dilaporkan memakai baju berwarna putih bergambar ‘mickey mouse’ serta berseluar pendek,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Justeru, beliau meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi, terutamanya di media sosial, mengenai kehilangan kanak-kanak tersebut, termasuk dakwaan bahawa dia telah dilarikan dan berada di utara tanah air.
“Saya harap semua pihak bersabar dan siasatan sedang dijalankan,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedudukan kanak-kanak itu diminta untuk menghubungi balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Ridzuan Abd Hadi talian 017-7051097 atau talian hotline IPD Iskandar Puteri 019-2792095 atau bilik gerakan 07-2212999.
BACA: Dipercayai Dibunuh, Mayat Nur Farah Kartini Ditemui Di Kuala Kubu Baharu
Terdahulu, seorang remaja perempuan, Siti Nur Balqiesh, yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Bandar Penawar pada Khamis lepas telah ditemui selamat di Pasir Gudang semalam, lapor SK.
Perkara itu dimaklumkan Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora, selepas orang awam menemukan mangsa di sebuah kedai makan berhampiran hentian bas di Pasir Gudang.
Sebelum itu, Siti Nur Balqiesh dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Bandar Penawar sekitar jam 7 malam pada Khamis
BACA: Hilang Sejak 10 Julai, Polis Mohon Bantuan Kesan Nur Farah Kartini
BACA: Polis Mohon Bantuan Kesan Nur Aina Faqihah, Hilang Sejak 15 Julai – Siakap Keli
BACA: Polis Kesan Kanak-Kanak Perempuan Enam Tahun Dilapor Hilang
Sumber: Sinar Harian