Kerajaan Luluskan RM191 Juta Bangunkan Projek Pembangunan Atasi Masalah Banjir Di Sarawak
KUCHING, 21 JULAI 2024 – Atas dasar keprihatinan, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah meluluskan sebanyak RM191 juta bagi pelaksanaan Projek Pembangunan Sungai Bersepadu (PLSB) Sg. Sarawak bertujuan mengatasi masalah banjir di beberapa kawasan di bandaraya Kuching ini.
Projek ini dilaksanakan dalam tiga (3) pakej bagi mempercepatkan pelaksanaannya.
YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA telah turun padang bagi merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Sungai Bersepadu (PLSB) Sg. Sarawak (Pakej 3) yang melibatkan kerja Rancangan Tebatan Banjir di Sg. Gersik, Kuching, Rancangan Tebatan Banjir Sg. Sinjan, Kuching & Mendalamkan dan Melebarkan Sg. Tengah dan Sg. Minjap, Matang, Kuching.
PLSB Sg. Sarawak Pakej 1 yang melibatkan Sub Lembangan Sungai Kuap dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir di sekitar kawasan Muara Tuang Park, Taman Univista & Unisquare dan Tabuan Dayak manakala PLSB Sg. Sarawak Pakej 2 yang melibatkan kawasan General Hospital, Lintang Park dan Kuarters Kerajaan, Kuching juga telah dimulakan pada Mei 2024 dan dijangka siap Tahun 2026.
Seterusnya PLSB Sg. Sarawak Pakej 3 yang dirasmikan hari ini bernilai RM41.96juta ini akan dilaksanakan dalam 24 bulan yang bermula pada 21 Mei 2024 dan dijangka siap sepenuhnya pada 20 Mei 2026.
Kerajaan Persekutuan yakin dengan siapnya keseluruhan projek PLSB Sg. Sarawak yang melibatkan 3 pakej ini akan dapat mengatasi masalah banjir kilat di kawasan sekitar bandaraya Kuching dan memberi manfaat kepada lebih 20,000 penduduk sekitar dan dianggarkan seluas 117 hektar akan dapat dilindungi daripada risiko bencana banjir.
Projek ini dijangka akan turut dapat meningkatkan semula aktiviti sosio-ekonomi serta menjamin kelangsungan perhubungan penduduk setempat.
Secara keseluruhannya di dalam Rolling Plan ke Empat (RP4 2024) RMKe-12, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sebanyak 21 projek dengan kos keseluruhan sebanyak RM2.2billion melibatkan 18 projek sambungan dan tiga (3) projek baharu yang merangkumi skop tebatan banjir, menaiktaraf sistem saliran, pemulihan koridor sungai, hakisan pantai serta program ramalan dan amaran banjir.
Majlis pecah tanah ini turut disaksikan oleh YB Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak serta wakil Kementerian PETRA, Agensi Persekutuan dan Negeri serta masyarakat tempatan.
Kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin dan cakna dalam memastikan kelestarian dalam pelaksanaan projek-projek Kerajaan untuk memastikan impak yang maksima demi kesejahteraan rakyat dan merangsangkan ekonomi Negeri Sarawak.
Pemantauan yang komprehensif dan berterusan merupakan kunci utama kepada pembangunan negara yang seimbang sepertimana yang dihasratkan oleh YAB Perdana Menteri menerusi Gagasan berteraskan konsep Malaysia Madani.