Siakap Keli
wanita dalam sektor industri dan perdagangan
Sumber : BERNAMA

Program MITI Dan HAWA Malaysia Perkasa Wanita Dalam Sektor Industri Dan Perdagangan

Program MITI Dan HAWA Malaysia Perkasa Wanita Dalam Sektor Industri Dan Perdagangan

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah melancarkan sebuah inisiatif baharu yang bertujuan meningkatkan kapasiti dan keupayaan wanita dalam sektor industri dan eksport.

Inisiatif ini dikenali sebagai “Women in Trade and Industry” (WITI) dan merupakan hasil kerjasama erat MITI dengan Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA Malaysia). 

Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan Dasar Malaysia Madani dan Dasar Wanita Negara dalam memastikan wanita Malaysia mempunyai peluang dan kapasiti yang sama untuk maju dalam ekonomi global. Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) juga menekankan pentingnya keterangkuman ekonomi bagi semua, termasuk wanita. 

Program WITI akan dilaksanakan diseluruh negara bersama dengan HAWA Malaysia, yang ditubuhkan pada Mac 2023. Melalui pelbagai program dan inisiatif, HAWA Malaysia berusaha merungkai halangan dan cabaran yang dihadapi oleh wanita dalam bidang ekonomi.

Kerjasama strategik antara MITI dan HAWA Malaysia ini bakal menjadi wahana buat para usahawan wanita untuk melibatkan diri dalam sektor perdagangan dan perindustrian, serta meningkatkan ilmu dan kapasiti mereka dan keluarga bagi menyokong pembangunan ekonomi negara. 

Program WITI akan dilaksanakan oleh para pegawai MITI di seluruh negara, di mana MITI akan menyediakan latihan serta sokongan kepada wanita yang berminat menceburi bidang perdagangan dan industri.

Inisiatif ini terbuka kepada pelbagai lapisan wanita termasuk usahawan, pemilik syarikat rintisan, pengusaha kecil dan sederhana, belia, dan golongan B40 serta M40. 

YB Menteri MITI, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, menyatakan bahawa pemerkasaan wanita adalah kunci kepada pencapaian pertumbuhan ekonomi yang dinamik dan inklusif.

“Salah satu daripada Misi di bawah Pelan Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 ialah menjamin keselamatan dan keterangkuman ekonomi. Prinsip keterangkuman ini turut meliputi pemerkasaan wanita.

Sehubungan itu, pembangunan kapasiti wanita di dalam sektor perdagangan dan industri melalui Program WITI bukan sahaja membantu wanita mencapai potensi mereka tetapi juga memacu ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Program ini juga akan melibatkan kerjasama dengan agensi-agensi pinjaman dan pemberian geran untuk membantu usahawan wanita mendapatkan sumber kewangan yang diperlukan.

Melalui pendedahan mengenai pembentukan syarikat, pengurusan kewangan, strategi perniagaan, dan pemupukan budaya syarikat, peserta program diharap akan memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam bidang perdagangan dan industri. 

MITI komited untuk terus menyokong dan memperkasakan wanita Malaysia dalam usaha mereka menyumbang kepada kemampanan ekonomi. Dengan pelaksanaan inisiatif WITI, MITI yakin wanita Malaysia akan mampu memacu ekonomi global dan mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.