Karnival Kompleks Kraf 2024
KUALA LUMPUR, 27 JULAI 2024 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) mengadakan Karnival Kompleks Kraf bermula 27 hingga 28 Julai 2024 (2 hari) dari jam 9.00 pagi sehingga 6.00 petang bertempat di kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.
Karnival Kompleks Kraf diadakan bertujuan memperkenalkan Kompleks Kraf sebagai Pusat Kraf Setempat yang menghimpunkan produk kraf tempatan dari seluruh Malaysia serta menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pelancong dalam dan luar negara.
Penganjuran program ini bertemakan ‘Kompleks Kraf Di Hati’ adalah bagi menunjukkan keunikan kompleks kraf menjadi destinasi menarik dan wajib dilawati dengan pengisian aktiviti kraf dalam kehidupan yang memberi pengalaman baharu mahupun mengimbau kenangan.
Pelbagai aktiviti yang menarik disediakan seperti Jualan Kraf, Pameran Kraf, Demonstrasi Kraf (Batik), Interaktif Kraf (Batik Lukis, Batik Ikat Celup, Batik Cetakan Kreatif, Seramik, Logam Teknik Tekan Timbul, Anyaman Rotan, Sulaman Manik, Seni Tampal Selit), Persembahan Kesenian, Jom Makan dan Lawatan Berpandu Berkumpulan.
Selain itu, pengunjung juga boleh menyertai Aktiviti Galakan Pengunjung iaitu Kelas Anyaman Kelarai, bakul kertas dan Projek Upcycle Kraf (Tie & Dye) yang disediakan secara percuma.
Pengunjung boleh menyertai Projek Upcycle Kraf yang merupakan aktiviti santai membuat batik ikat celup dengan membawa pakaian terpakai sendiri untuk diwarnakan atau dicelup berubah menjadi wajah baharu.
Penganjuran Karnival Kompleks Kraf ini akan diadakan seterusnya pada 24 dan 25 Ogos 2024, 28 dan 29 September 2024 serta 26 dan 27 Oktober 2024. Orang ramai yang ingin berkunjung ke kompleks Kraf Kuala Lumpur boleh menggunakan kemudahan awam dengan menaiki MRT ke Stesen MRT Conlay atau Bas Hop On Hop Off.