Lawatan Kerja Timbalan Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan Ke Duriotourism Mardi Kuala Kangsar
Kuala Kangsar, 28 Julai – Lawatan Kerja YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Pertanian dan keterjaminan Makanan ke Duriotourism MARDI Kuala Kangsar bagi merasai suasana dan menikmati pelbagai varieti durian.
MARDI Kuala Kangsar yang dikenali dengan nama Duriotourism ini mengetengahkan lima konsep iaitu teknologi, inovasi, pemuliharaan, pendidikan dan rekreasi (TICER) yang mana antara salah satu objektifnya adalah memindahkan teknologi durian MARDI kepada orang ramai yang mengunjungi Taman Agro ini.
Pakej Duriotourism yang dilaksanakan mengikut musim durian ini memberi pengalaman kepada pengunjung untuk membuat lawatan ke ladang durian sebenar dengan menaiki tram dengan diiringi jurupandu yang berpengalaman luas dalam penanaman dan varieti durian.
Pengunjung juga akan di bawa ke plot buah-buahan untuk merasai suasana serta menikmati buah-buahan terus dari ladang.
MARDI Kuala Kangsar telah diisytiharkan sebagai salah satu destinasi pelancongan dan dikenali Durio Tourism yang merupakan sebuah pusat pelancongan yang berasaskan durian dan buah-buahan tropika serta bertemakan dusun village.
Terdapat lebih daripada 20 jenis durian klon dan kampung ditanam di sini. Pengunjung akan menikmati kelainan rasa durian bila berkunjung ke sini.
Diantara durian yang ada di sini seperti durian hibrid MARDI iaitu MDUR 78 (D188), MDUR 78 (D189) dan MDUR 88 (D190) berpotensi tinggi dan sering mendapat permintaan yang tinggi daripada pengunjung dan penanam durian di seluruh Negara.
Bersempena dengan lawatan ini, YB Datuk Arthur turut diberikan penerangan mengenai teknologi pengendalian lepas tuai durian segar. Buah bermusim seperti durian memerlukan teknologi untuk memelihara dan memanjangkan jangka hayat semasa penyimpanan dan pemasaran.
Jangka hayat durian yang matang gugur, terutamanya klon premium Musang King (D197) adalah sangat pendek (1-2 hari) jika disimpan pada suhu persekitaran.
Majlis turut di hadiri oleh YBrs Dr Azman bin Ismail, Pengerusi MARDI dan YBhg Dato’ Dr Mohamad Zabawi bin Abdul Ghani, Ketua Pengarah MARDI.