Kenapa Pemanah Korea Selatan Terlalu Handal? Ini Jawapannya
Kehandalan Korea Selatan dalam sukan memanah memang tidak boleh disangkal lagi.
Sejak 40 tahun lalu, pemanah-pemanah dari negara berkenaan mendominasi acara berkenaan di mana-mana kejohanan, seperti yang dilihat dalam Sukan Olimpik ketika ini.
Hebatnya Korea Selatan, 27 daripada 45 emas menjadi milik negara itu sejak acara memanah melakukan debut di Sukan Olimpik 1984.
Manakala dalam dua edisi terakhir pula, lapan daripada sembilan emas sukan berkenaan menjadi milik pemanah Korea Selatan.
Bertambah mengagumkan, Korea Selatan tidak pernah gagal membawa pulang emas dalam acara berpasukan wanita sejak 1988.
Negara itu adalah penyandang emas dalam acara berkenaan untuk 10 edisi Sukan Olimpik berturut-turut, termasuk yang dimenangi semalam di Paris.
Ini jawapan kenapa pemanah Korea Selatan terlalu handal
Lalu persoalannya, mengapa Korea Selatan terlalu handal dalam sukan memanah?
Menurut World Archery, pemanah-pemanah Korea Selatan berpendapat bahawa bersaing dengan rakan-rakan atlet untuk merebut tempat mewakili negara adalah lebih susah berbanding memenangi emas di Olimpik itu sendiri.
Kenyataan itu bukanlah kerana mahu merendahkan kemampuan lawan mereka, sebaliknya kerana proses pemilihan ke pasukan kebangsaan yang mereka perlu lalui adalah amat sukar.
Malah, untuk menjadi pemanah dan mewakili negara di pentas dunia, mereka perlu bermula pada usia yang sangat muda. Lebih menarik, sistem pembangunan ini sebenarnya bermula di peringkat sekolah rendah lagi.
Pemanah sangat komited ketika latihan memanah, berlatih selama 3 atau 4 jam sehari
Menurut Persatuan Memanah Korea Selatan, rata-rata pemanah mereka yang berada di tahap elit seperti Kim Je Deok mula berkecimpung dalam sukan tersebut sejak berumur sembilan atau 10 tahun, sebagai aktiviti selepas sekolah.
Dianggarkan, terdapat kira-kira 900 pusat latihan memanah ditawarkan di sekolah-sekolah rendah di seluruh Korea Selatan.
Pada masa yang sama, terdapat juga lebih 100 kelab memanah luar yang menyediakan tempat untuk latihan selepas tamat waktu persekolahan.
Kelab-kelab memanah ini dibuka sehingga habis waktu pejabat dan boleh dianggap seperti pusat jagaan kanak-kanak sementara menunggu mereka diambil oleh ibu bapa masing-masing.
Selain itu, pemanah-pemanah muda ini juga menghabiskan masa kira-kira tiga hingga empat jam sehari, dari Isnin hingga Jumaat untuk berlatih.
Bagi atlet seperti Je Deok, dia akan turut berlatih pada hujung minggu sekiranya ada pertandingan yang perlu disertai.
Ketika dalam latihan pula, mereka berlatih memanah antara 300 hingga 500 panahan setiap hari.
Sebagai gambaran, Je Deok berjaya memenangi dua emas di Olimpik Tokyo pada usia 17 tahun. Pencapaian tersebut diraih kurang daripada lapan tahun selepas dia mula terlibat dengan sukan memanah.
Jika Je Deok berlatih memanah purata 375 panahan sehari, selama lima hari setengah setiap minggu untuk tempoh sembilan tahun sebelum menang dua emas berkenaan, dia sebenarnya sudah berlatih memanah mencecah 1 juta panahan.
Saingan sengit dari sekolah rendah membawa ke sekolah menengah dan universiti
Dalam pada itu, kira-kira 60 peratus pemanah yang berlatih di peringkat sekolah rendah akan menyertai kelab memanah yang ditawarkan di sekolah menengah pula.
Separuh daripada jumlah itu kemudian meneruskan latihan masing-masing hingga ke peringkat sekolah tinggi. Apabila mereka melanjutkan pengajian ke universiti, terdapat kira-kira 150 kelab memanah yang menanti.
Pada masa yang sama, sekolah-sekolah yang menawarkan kelab memanah ini terletak dekat antara satu sama lain. Jadi ia memudahkan latihan praktikal dan pertandingan kecil-kecilan diadakan.
Manakala kelab memanah di universiti pula selalu bersaing dengan kelab-kelab memanah profesional yang ada di Korea Selatan.
Ketika ini, dianggarkan terdapat lebih 60 buah kelab memanah profesional di seluruh negara tersebut.
Ahli-ahli kelab ini terdiri daripada pemanah-pemanah di sekolah yang sudah memiliki pekerjaan atau ditubuhkan oleh syarikat-syarikat yang terus melabur membangunkan sukan berkenaan.
Walaupun jumlah pemanah mereka secara relatifnya tidaklah terlalu ramai, namun sistem mereka dibina di atas kuantiti.
Kuantiti yang dimaksudkan di sini adalah kuantiti masa dan latihan yang perlu dilalui sekumpulan pemanah sejak dari sekolah rendah lagi.
Setiap tahun, Korea Selatan akan menamakan lapan atlet memanah lelaki dan lapan atlet memanah wanita untuk mewakili negara. Namun, hanya separuh daripada mereka akan terpilih untuk dihantar menyertai pertandingan.
Mereka ini hanya dipilih selepas melalui pelbagai ujian dan pertandingan ketat yang berjalan hampir berbulan-bulan lamanya.
Pemilihan ketat itu dibuat untuk memastikan hanya pemanah yang layak sahaja akan dipilih dan diberi tanggungjawab mengharumkan nama negara.
Sistem ini juga memastikan negara itu tidak pernah ketandusan bakat pemanah yang berkualiti. Jadi tak hairanlah, Korea Selatan terlalu handal dalam sukan memanah.
BACA: Suhu Cecah 50 Darjah Celsius, Ini 10 Tempat Terpanas Di Dunia
Sumber: World Archery