Pelanjutan Tempoh Kempen Strukturkan Pinjaman Anda Serendah RM300
1. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif dengan pendekatan mesra pelanggan untuk membantu serta memudahkan peminjam membuat bayaran balik pinjaman. Melihat kepada sambutan yang menggalakkan daripada kalangan peminjam, PTPTN akan melanjutkan tempoh bagi Kempen Strukturkan Pinjaman Anda Serendah RM300 khas untuk peminjam PTPTN.
2. Kempen ini merupakan inisiatif khas yang diwujudkan bagi menggalakkan dan memberi sokongan kepada peminjam yang mempunyai tunggakan pinjaman PTPTN untuk menyelesaikan tunggakan mereka dengan bayaran awal serendah RM300 sahaja. Tempoh kempen dilanjutkan daripada dua (2) bulan yang berakhir pada 31 Julai 2024 sebelum ini kepada empat (4) bulan iaitu bermula 1 Jun 2024 sehingga 30 September 2024.
3. Kempen ini terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang mempunyai tunggakan dalam tempoh kempen, sama ada pinjaman konvensional atau ujrah. Peminjam yang mempunyai tunggakan perlu membuat bayaran tunggakan serendah RM300 sahaja untuk penstrukturan semula pinjaman dan diwajibkan untuk membuat potongan gaji atau debit terus sebagai kaedah bayaran balik.
Penstrukturan semula memberi kemudahan kepada peminjam untuk mengubah struktur jadual bayaran balik dan menetapkan ansuran bulanan berdasarkan kemampuan peminjam. Ini bagi memastikan peminjam dapat membuat bayaran balik secara konsisten dan teratur. Selain penstrukturan, peminjam juga boleh membuat rundingan bayaran balik yang lain seperti pertukaran ujrah, penggabungan pinjaman dan penjadualan semasa tempoh kempen ini.
4. Pengerusi PTPTN, YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim berkata, “Tujuan pelanjutan tempoh kempen ini adalah untuk memberi peluang kepada peminjam membuat rundingan bayaran balik dan membantu peminjam merancang semula ansuran bayaran balik demi mencapai zero tunggakan. Tempoh pelanjutan ini juga adalah selaras dengan pelaksanaan Kempen myPTPTN Mudah, Cepat & Selamat yang sedang berlangsung. ”
5. “Melalui perlanjutan tempoh kempen ini, peminjam yang mempunyai tunggakan pinjaman boleh mengambil peluang untuk membayar tunggakan serendah RM300 dan membuat penstukturan semula pinjaman sekali gus dapat memperbaiki rekod kredit peminjam. Jangan lepaskan peluang ini. Komitmen peminjam yang membuat bayaran balik amat dihargai demi kelangsungan dana pinjaman pendidikan kepada generasi akan datang,” tambah beliau lagi.
6. Untuk sebarang pertanyaan lanjut berkaitan kempen ini dan rundingan bayaran balik sama ada pertukaran Ujrah/ penggabungan/ penjadualan atau penstrukturan semula pinjaman, peminjam boleh menghubungi PTPTN melalui saluran berikut:
- Careline PTPTN di 03 – 2193 3000
(Beroperasi Isnin hingga Jumaat, jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang) • Live Chat di portal PTPTN (www.ptptn.gov.my)
- E-Aduan PTPTN (https://eaduan.ptptn.gov.my/)
- Eksekutif Jualan PTPTN (https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn) • Media Sosial Rasmi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional