Program Anak Emas Menjadikan Simpan SSPN Pilihan Utama
1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) julung kalinya melancarkan Program Anak Emas pada hari ini. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YB Puan Lim Siew Khim, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Pulau Pinang bertempat di MYDIN Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Turut hadir YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN, Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN, Encik Muhammad Muhsin Abdul Rahman, Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang dan Pengurusan PTPTN.
2. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperkenalkan Program Anak Emas pada Jun 2011 iaitu bayaran bantuan secara one-off berjumlah RM200 kepada bayi yang berumur 2 tahun ke bawah. Melalui kerjasama strategik kedua-dua pihak ini, berkuatkuasa pada 15 Januari 2024, RM100 akan diberikan untuk pembukaan akaun/ penambahan deposit Simpan SSPN Prime dan RM100 disalurkan ke akaun bank pemohon yang layak.

Syarat-syarat untuk memohon Program Anak Emas adalah seperti berikut:
1. Anak mestilah warganegara Malaysia;
2. Pendaftaran perlu dilengkapkan sebelum anak berumur dua (2) tahun; dan iii. Salah seorang kepada ibu atau bapa kepada anak yang dilahirkan mestilah berdaftar dalam Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai Pengundi di Pulau Pinang.
3. Simpan SSPN merupakan produk simpanan PTPTN yang menawarkan pelbagai manfaat dan kelebihan. Antaranya ialah pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin Kerajaan dan patuh syariah.
4. Menurut YB Puan Lim Siew Khim, “Pelaksanaan Program Anak Emas melalui Simpan SSPN Prime telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Di dalam tempoh 15 Januari 2024 hingga 30 Jun 2024, sebanyak 2,162 akaun telah dibuka atau dibuat penambahan simpanan dengan jumlah RM216,200.00.”
5. “Saya berharap masyarakat Pulau Pinang merebut peluang untuk memohon bantuan ini. Program Anak Emas melalui Simpan SSPN Prime merupakan bukti keprihatinan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang literasi kewangan. Ia juga sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada penerima Program Anak Emas. Penabungan dari awal usia sangat penting agar anak-anak tidak bergantung kepada pinjaman untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” tambah beliau lagi.
6. YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim berkata, “Kami berharap Simpan SSPN akan menjadi pilihan terbaik kepada ibu bapa kerana simpanan secara konsisten adalah penting untuk masa depan pendidikan yang terjamin. Saya menyeru kepada semua agensi awam dan swasta untuk menjadikan Simpan SSPN sebagai insentif atau hadiah bagi penganjuran aktiviti atau program yang bersesuaian. Semoga inisiatif murni Program Anak Emas ini disambut baik oleh seluruh masyarakat Pulau Pinang demi pembangunan anak bangsa selari moto PTPTN, Peluang Kejayaan Anda.”
7. Sempena majlis pelancaran ini, pelbagai aktiviti dan hadiah menarik telah disediakan antaranya, Pertandingan Mewarna Simpan SSPN, Pertandingan Bayi Merangkak Simpan SSPN, Pertandingan Action Song Simpan SSPN, Pertandingan Pakaian Beragam, penampilan badut, persembahan boria dan persembahan kanak-kanak tadika.
8. Program ini telah dimeriahkan lagi dengan kerjasama daripada agensi awam dan swasta yang membuka kaunter perkhidmatan dan pameran antaranya, kaunter promosi Simpan SSPN, kaunter saringan kesihatan percuma, kaunter semakan akaun dan khidmat nasihat KWSP, mini petting zoo, pameran robotik dan AI, pameran pergigian serta pameran interaktif.
9. Untuk maklumat lanjut mengenai Program Anak Emas boleh layari isejahtera.penang.gov.my.