Apabila menyebut mengenai pencen, perkara yang terlintas di fikiran pastinya dapat berehat setelah berpuluh tahun dalam perkhidmatan. Selepas pencenlah masanya untuk merehatkan diri daripada kerja dan hanya memfokuskan kepada diri dan juga keluarga.
Pun begitu, tidak semua mahu ‘berehat’ daripada bekerja dek sudah terbiasa dengan rutin harian menguruskan tuntutan kerja dan juga perihal keluarga. Tidak dinafikan, ramai juga yang telah bersara memilih untuk melakukan pekerjaan sampingan untuk menjana pendapatan tambahan, tidak terkecuali mereka yang merupakan pesara tentera Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, kira-kira 80 peratus daripada 22,000 veteran ATM memilih untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan selepas bersara.
Ini membuktikan semangat mereka untuk terus aktif selepas bersara tidak pernah hilang menjadikan kehidupan mereka lebih berwarna-warni.
Daripada sarjan, kini usahawan
Antaranya seperti seorang pesara tentera wanita ini yang telah berkhidmat untuk ATM. Meskipun telah pencen, namun ia tidak menjadi penghalang buat pesara tentera wanita ini untuk memulakan perniagaan sebagai pendapatan sampingan dan mengisi masa yang terluang. Memilih untuk bergiat aktif selepas tamat perkhidmatan, wanita ini mengakui melakukan perkara yang diminati sedikit sebanyak merealisasikan impiannya untuk menjadi wanita berkerjaya.
Irnita Sait yang merupakan pesara tentera telah lama berkecimpung dalam bidang perniagaan dan telah memilih untuk menjual pembuatan kuih sejuk beku. Pesara yang berusia 43 itu memulakan perniagaan tersebut setelah tamat perkhidmatan kerjayanya.
Walaupun ramai yang memilih untuk berehat selepas bersara, namun berbeza pula bagi Irnita yang tidak reti untuk duduk diam semenjak pencen pada tahun lalu. Baginya dengan melibatkan diri dengan bidang keusahawanan ia sedikit sebanyak membantu kehidupan sehariannya.
Bagaimanapun, seperti yang kita tahu untuk memulakan perniagaan ini memerlukan modal yang besar. Tetapi mujur veteren ATM mempunyai keistimewaan seperti program Pemerkasaan Usahawan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PUVET ATM) yang memberi dana kepada pesara mereka. Perkara sebegini semestinya membantu pesara ATM kerana ia meringankan beban yang dipikul oleh mereka.
Dapat modal daripada PUVET ATM
Untuk pengetahuan, PUVET ATM yang dilaksanakan oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) merupakan salah satu bantuan yang disalurkan kepada pesara tentera untuk mereka yang mahu melibatkan diri dalam bidang keusahawanan. Menerusi insentif tersebut, veteran ATM yang menceburi bidang perniagaan dapat menikmati bantuan seperti fasiliti, geran dan latihan yang diperlukan untuk memajukan perniagaan mereka.
Tidak hanya itu, mereka yang terlibat juga dapat menikmati manfaat yang ada dalam PUVET ATM sekaligus ia menyuntik semangat pesara untuk memulakan perniagaan mereka selepas selesai berkhidmat untuk kerajaan.
Irnita yang juga ibu kepada tiga orang anak berkata program PUVET ATM sedikit sebanyak membantu perniagaan kecilnya untuk berkembang menjadi lebih maju. Dengan adanya pertolongan tersebut pesara berusia 43 tahun itu dapat membeli mesin pemotong kentang untuk memproses karipap yang telah lama diidamkan olehnya.
Berkongsi pengalaman, Irnita turut mengakui kemudahan yang diberikan membuatkan masa yang diperlukan untuk memproses karipap menjadi lebih singkat daripada sebelum ini. Oleh kerana harganya yang agak mahal, Irnita terpaksa mengetepikan impiannya untuk membeli mesin tersebut namun siapa sangka, program PUVET ATM mampu mengubah kehidupannya.
Wanita itu yang juga merupakan pesara tentera berpangkat Sarjan berkata sebelum ini dia terpaksa mengupas kentang selama tiga jam dengan menggunakan cara manual. Kentang yang digunakan sehari untuk perniagaannya dianggarkan sekitar seberat enam hingga lima kilogram.
“Jadi dengan kelulusan permohonan ini ianya dapat merealisasikan impian saya membeli mesin pemotong kentang,” katanya.
Tidak dinafikan, bantuan tersebut menjadikan Irnita semakin bersemangat untuk menjalankan perniagaannya selain mahu mempelbagaikan jualan kepada orang ramai.
Peruntukan 1 Juta bantu usahawan veteran ATM
Semalam, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari mengumumkan kerajaan telah memperuntukkan RM1 juta bagi membantu 200 usahawan veteran tentera di bawah program tersebut pada tahun ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Adly dengan menyantuni para veteran dan usahawan veteran di program PUVET ATM peringkat Nnegeri Melaka. Beliau juga turut menyampaikan geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) kepada usahawan-usahawan veteran ATM.
Difahamkan, kira-kira 96 usahawan veteran ATM telah dibantu di mana setiap pesara menerima bantuan wang tunai kira-kira RM5,000 untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Pesara lain turut gembira, perniagaan dimudahkan dengan PUVET ATM
Dalam pada itu, Ariff Setiawan Janny yang merupakan antara 22 usahawan veteran ATM yang menerima bantuan tersebut berkata program PUVET ATM membantu perniagaannya menjadi lebih teratur selepas dia dapat membeli mesin kimpalan untuk jualannya.
Jelas pesara tentera berusia 37 tahun itu, bantuan itu sedikit sebanyak membantu melengkapkan peralatan, kemudahan di bengkel miliknya dan mempercepatkan masa untuk menyiapkan tugasan hingga masa yang terlebih itu digunakan untuk menyantuni pelanggan yang lain.
“Jika tidak saya terpaksa menghantar sebarang kerja-kerja kimpalan di tempat lain.
“Melalui bantuan yang diterima ini, saya dapat membeli mesin itu yang sangat membantu dalam mempercepatkan masa untuk menyiapkan motosikal pelanggan saya,” katanya.
Disebabkan dengan adanya keistimewaan begini, tidak hairanlah jika veteran ATM mahu berniaga kerana ia mampu menyuntik semangat mereka untuk melakukan sesuatu di luar bidang.
Jadi tidak salah untuk kita sebagai anak menyokong tindakan ibu bapa yang mahu menceburi bidang keusahawanan selepas bersara walaupun mempunyai pencen sendiri. Sebagai seorang veteran ATM, rugi sekiranya tidak menggunakan peluang yang disediakan untuk melakukan sesuatu di luar bidang meskipun telah pencen. Mari sama-sama nikmati dan gunakan keistimewaan yang disediakan.