WHO Isytihar Cacar Monyet Darurat Kesihatan Awam
ANKARA, 15 Ogos (Bernama-Anadolu) — Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu mengisytiharkan situasi cacar monyet sebagai “darurat kesihatan awam yang menjadi kebimbangan antarabangsa.”
“Darurat kesihatan awam yang menjadi kebimbangan antarabangsa adalah tahap amaran tertinggi di bawah undang-undang kesihatan antarabangsa.
“Nasihat Jawatankuasa Kecemasan kepada saya, dan juga @AfricaCDC, yang semalam mengisytiharkan darurat kesihatan awam bagi keselamatan serantau adalah sejajar,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus di platform X.
Sejak awal 2024, lebih 12 negara Afrika melaporkan jangkitan penyakit itu, dengan Congo mencatat lebih 90 peratus kes yang dilaporkan.
Cacar monyet menyebabkan ruam dan simptom seakan-akan selesema, menurut WHO.
“Dalam tempoh beberapa hari dan minggu yang akan datang, WHO komited untuk menyelaraskan tindak balas global, bekerjasama rapat dengan setiap negara yang terjejas serta memanfaatkan kehadiran di lapangan untuk mencegah penularan, merawat mereka yang dijangkiti dan menyelamatkan nyawa.
“Bagi membiayai usaha ini, WHO membangunkan pelan tindak balas serantau yang memerlukan pembiayaan awal sebanyak US$15 juta.
“Kami mengeluarkan US$1.45 juta daripada Dana Kontingensi Kecemasan WHO dan kami merancang untuk mengeluarkan lebih banyak dalam beberapa hari akan datang.
“Kami juga merayu kepada penderma untuk membiayai baki pelan tindak balas ini,” kata Ghebreyesus.
Sumber: BERNAMA-ANADOLU