Kita kalau nak reka bentuk sesuatu benda itu mungkin agak sukar nak dilakukan. Lebih-lebih lagi kalau baru nak mula belajar, mesti jadi agak leceh dan mudah berputus-asa. Tidak kiralah sama ada benda yang nak dihasilkan itu kecil ataupun besar, kalau nak mulakan mesti banyak benda nak difikirkan dahulu.
Tapi, kalau ada dorongan dan minat, benda ini akan jadi lebih mudah walaupun ambil sedikit masa untuk disempurnakan. Bagi anda semua yang selalu layan media sosial, bukti ini dapat dilihat menerusi kandungan-kandungan menarik dalam akaun TikTok @aminxabid.

Lebih menarik lagi, baru-baru ini, mereka sempat berkongsi kisah perjalanan kerjaya mereka yang bermula daripada dorongan ilmu seorang ayah sehingga menjadi satu minat dan seterusnya satu kerjaya bagi dua beradik kembar ini.
Kalau anda semua nak tahu, dua adik-beradik kembar bernama Amin Othman (abang) dan Abid Othman (adik) ini gemar melakukan aktiviti-aktiviti kreatif dan boleh dikatakan pemikiran mereka luar daripada kotak. Hasil temubual bersama mereka, kedua-duanya mengatakan bahawa mereka telah didedahkan dengan konsep ilmu ‘DIY’ dan kreativiti sejak dari kecil lagi menerusi ayah mereka.

Kata Abid, ayah mereka memang minat dengan reka bentuk dan inovasi. Uniknya, ayahnya juga mempunyai bengkel sendiri di belakang rumah dan dari situlah mereka berdua mula belajar ilmu reka bentuk dengan ayah mereka. Berkat ilmu tersebut, mereka memperoleh inspirasi menghasilkan pelbagai produk kreatif dengan menggunakan barangan-barangan terpakai.
Persepsi Orang Tentang Pencipta Kandungan Tiada Masa Depan, Buatkan AminxAbid Sedih
Walaupun pelbagai kandungan-kandungan yang kreatif dihasilkan, dua beradik ini masih merasakan bahawa cabaran utama mereka ialah mengenai persepsi orang tentang kerjaya pencipta kandungan.
Kata Amin, netizen yang mengatakan kerjaya tersebut tiada masa depan sedikit sebanyak agak menjatuhkan semangat mereka untuk terus berkarya.

Namun, berkat sokongan daripada ayah, mereka kekal positif dan bersemangat menghasilkan pelbagai kandungan menarik.
“Kita percaya pada rezeki. Ayah cakap, adik dan abang…tak mengapa. Kandungan ni kita buat kita bagi manfaat kepada orang…teruskan,” kata Amin.
Reka Bentuk Muzium Coklat Jadi Projek Terbaik AminxAbid
Dalam pelbagai produk kreatif yang dihasilkan, diam tak diam ada projek terbaik yang Amin dan Abid berjaya hasilkan. Kalau para pembaca nak tahu, projek tersebut ialah Muzium Coklat yang terletak di Kedah.
Kenapa terbaik? Sebabnya mereka sendiri pun tidak menjangkakan yang mereka boleh melakukan perkara tersebut. Mana tidaknya, asalnya mereka hanya menggunakan tanah liat dan imaginasi sahaja.

Namun, hasil gabungan tersebut berjaya direalisasikan sehingga terbentuknya reka bentuk Muzium Coklat seluas 30×30 kaki persegi.
Lebih manis lagi, projek air tangan sendiri itu dihasilkan bersama dengan ayah mereka yang menjadi tulang belakang untuk projek-projek besar yang lain. Kata dua beradik ini, mereka tidak mungkin berjaya sampai ke tahap ini tanpa ayah mereka yang berjiwa inovasi dan kreativiti.
Bukan hanya Amin dan Abid, kami juga berkesempatan untuk menemu bual ayah serta ibu mereka iaitu Encik Othman Hashim dan Puan Shariah Ariffin. Nak tahu lebih lanjut mengenai temu bual kami bersama mereka, anda semua boleh tengok video dekat bawah ini.
Seperti yang dikatakan oleh Amin dalam video temu bual di atas, penghasilan kandungan yang ada ilmu dengan kandungan yang hanya sekadar hiburan ada bezanya dari segi cara percakapan, dan cara pembawakan.
“Ilmu dalam menjadi pencipta kandungan sangat penting. Biarlah jadi pencipta kandungan yang ada pendidikan. Baru boleh bawa manfaat kepada masyarakat,” kata Amin.
