Siakap Keli
kembara sains borneo

13,000 Pelajar & Guru Rasai Keseronokan Pusat Sains Sempena Kembara Sains Borneo 2024

13,000 Pelajar &  Guru Rasai Keseronokan Pusat Sains Sempena Kembara Sains Borneo 2024

PAPAR, 16 Ogos 2024 – YB Timbalan Menteri MOSTI, YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Nangka, Tuaran Sabah pada 15 Ogos 2024 dan ke Sekolah St Joseph, Papar Sabah bersempena Kembara Sains Borneo 2024 anjuran Pusat Sains Negara, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Kembara Sains Borneo 2024 (KSB 2024) merupakan Program Khas PSN yang telah dilaksanakan sejak 2015. Ia adalah platform bagi PSN mendekati pelajar dan komuniti di kawasan luar bandar.

Tujuan program pembudayaan ini adalah untuk memupuk minat masyarakat dalam bidang STEM melalui kaedah pembelajaran interaktif dan kreatif.

kembara sains borneo
YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mencuba bahan pameran yang disediakan oleh Pusat Sains Negara

Bas PSN Trooperz On The Move merupakan bas pameran Pusat Sains Negara (PSN) berkonsepkan hands on, hearts on, minds on yang memulakan misinya sejak tahun 2007. Bas ini dilengkapi dengan 14 bahan pameran interaktif bertemakan STEM bertujuan memupuk pemikiran kreatif dan inovatif seterusnya merangsang minda ke arah pemikiran saintifik.

Menurut Pengarah Pusat Sains Negara, Encik Mohammad Fuad bin Rahman, dengan adanya bas pameran PSN Trooperz On The Move, PSN akan dapat meluaskan capaian PSN ke seluruh pelosok negara bagi memberi pengalaman unik pusat sains kepada masyarakat.

PSN sentiasa bergerak aktif di seluruh Malaysia untuk mendekati masyarakat tanpa mengira latar belakang sosial dan kekangan geografi dalam usaha membawakan STI terus kepada rakyat.

 “Menerusi bas pameran ini juga, PSN berharap ia mampu membetulkan persepsi masyarakat tentang sains selain menambahkan keyakinan masyarakat terhadap kepentingan bidang STI kepada pembangunan Malaysia Madani.” katanya. Tambah beliau, objektif lain PSN Trooperz On The Move adalah untuk meningkatkan pengaksesan maklumat sekaligus meningkatkan tahap literasi sains rakyat Malaysia.

kembara sains borneo
Para pelajar SMK Sri Nangka mencuba bahan pameran interaktif yang dipamerkan sempena Kembara Sains Borneo 2024

KSB 2024 menjelajah ke sepuluh (10) daerah di Sabah bermula di Lahad Datu melalui Kinabatangan dan Ranau dan berakhir di Kota Kinabalu. Selepas itu, KSB 2024 akan meneruskan pengembaraan ke lima (5) buah daerah di Sarawak bermula di Miri dan berakhir di Kuching.

Pengembaraan ini melibatkan lebih 20 sekolah terpilih dan beberapa sekolah lain sebagai lokasi persinggahan dengan anggaran peserta yang menerima manfaat adalah seramai 20,000 orang.

Melalui program ini, PSN akan melaksanakan pelbagai aktiviti interaktif yang menarik berkonsepkan Hands On, Minds On, Hearts On selaras dengan usaha memperkenalkan pembelajaran sains bukan formal kepada masyarakat.

Antara aktiviti yang akan diadakan sepanjang penjelajahan KSB 2024 adalah sesi Ceritera Sebalik Radas daripada saintis-saintis terkenal, Kinect Sports, Drone Challenge, Demonstrasi Sains, Let’s Xperiment, STEM Challenge, Mini Planetarium, Planet Virtual Reality dan banyak lagi.

KSB 2024 dianjurkan secara bersama oleh PSN, MOSTI  dengan kerjasama padu mendapat rakan-rakan strategik yang terdiri daripada agensi Kerajaan dan swasta serta rakan penaja utama program, iaitu Hibiscus Petroleum Berhad.

kembara sains borneo
YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bersama dengan kakitangan Pusat Sains Negara yang menjayakan Kembara Sains Negara 2024 di SMK Sri Nangka, Tuaran Sabah

Kerjasama strategik antara Pusat Sains Negara dan Hibiscus Petroleum Berhad mencerminkan dedikasi dan komitmen sektor swasta dalam menyokong inisiatif kerajaan untuk menyemarakkan pembudayaan sains, teknologi, dan inovasi (STI) dalam kalangan masyarakat Malaysia

Turut hadir, YBrs. Encik Abdullah bin Daud, Setiausaha Bahagian (Pembudayaan dan Perkhidmatan STI) MOSTI, YBrs. Encik Mohammad Fuad bin Rahman, Pengarah Pusat Sains Negara dan Dr. Pascal Hos, Country Head, Malaysia & Vietnam Hibiscus Petroleum Berhad dan YBhg. Datuk Eddie Abdullah, Ketua Perhubungan Komuniti dan Kerajaan, Hibiscus Petroleum Berhad.

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.