Benam Selangor 6-1, JDT Hatrik Juara Piala FA
Johor Datul Ta’zim (JDT) melakar hatrik apabila muncul Juara Piala FA tiga kali berturut-turut.
Ia selepas Harimau Selatan tampil garang membaham Selangor FC, 6-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil sebentar tadi.
Aksi yang bermula panas seawal minit pertama pada awalnya seolah-olah menjadi petanda aksi seimbang bakal disajikan oleh kedua-dua pasukan.
Namun JDT tidak menunggu lama untuk memperkemaskan permainan dan mula mengawal perlawanan.
Beberapa percubaan berbahaya mula dijelmakan oleh barisan hadapan JDT selepas itu, terutamanya menerusi Juan Muniz, Heberty dan Bergson da Silva.
Hatrik Juan Muniz bantu JDT lakar hatrik Juara Piala FA
Pemain import itu kemudian membuka tirai jaringan pada buat juara bertahan itu menerusi sepakan percuma pada minit ke-26.
Bintang muda negara, Arif Aiman Hanapi seterusnya mengukuhkan kedudukan JDT menuju rehat separuh masa pertama apabila menyumbat gol melalui tandukan cantik pada minit ke-41.
Bersambung babak kedua, Selangor cuba bangkit kembali dan berjaya merapatkan kedudukan kepada 2-1 menerusi jaringan oleh Fortes pada minit ke-59.
Namun begitu, harapan yang cuba dihidupkan oleh pemain import The Red Giant itu tidak kesampaian apabila Bergson kemudian memulakan ‘malam’ ngeri untuk Selangor.
6-1 benam Selangor FC sahkan kejuaraan milik JDT
Beliau menyumbat gol ketiga JDT pada minit ke-62, sebelum Juan Muniz menambah derita Selangor dengan gol keduanya pada minit ke-67.
Seorang lagi import JDT, Heberty yang beraksi cemerlang sepanjang malam menghadiahkan gol kelima untuk kelabnya.
Pemain Terbaik Perlawanan, Juan Muniz seterusnya melengkapkan hatriknya apabila menjaringkan gol keenam pada minit ke-89 sekaligus memastikan Piala FA 2024/25 kali ini sah milik JDT.