Siakap Keli
projek perumahan swasta

305 Projek Perumahan Swasta Berjaya Dipulihkan Dengan Nilai GDV Sebanyak RM23.46 Bilion Bagi Separuh Tahun 2024

305 Projek Perumahan Swasta Berjaya Dipulihkan Dengan Nilai GDV Sebanyak RM23.46 Bilion Bagi Separuh Tahun 2024

SEPANG, 27 OGOS 2024 Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB  Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu dalam lawatan tapak Task Force KPKT ke projek perumahan swasta terbengkalai Taman Desa Anjung Putra, Sepang, Selangor hari ini  memaklumkan bahawa selain daripada menyediakan peruntukan bagi pemulihan projek terbengkalai, KPKT juga bekerjasama dengan pemaju asal, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta agensi-agensi teknikal terlibat dalam usaha memulihkan projek sehingga memperoleh Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC). 

Taman Desa Anjung Putra, Sepang, Selangor yang dimajukan oleh Amanahraya Development Sdn. Bhd. ini telah disahkan terbengkalai oleh YB Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 9 Februari 2022 selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 11(1)(ca) Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966 (Akta 118).

Pemajuan  ini melibatkan 18 unit Rumah Sesebuah Dua (2) Tingkat dalam kategori harga tinggi iaitu antara RM567,728.10 hingga RM1,200,000.00.  

Tarikh Perjanjian Jual Beli (PJB) pertama projek adalah pada 24 Disember 2010 dan ia sepatutnya siap pada 24 Disember 2012. Semasa projek ini disahkan terbengkalai, kemajuan telah mencapai 97.50% dan pemaju tidak berjaya memperoleh CCC dalam tempoh ditetapkan kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan oleh agensi-agensi teknikal dan Majlis  Perbandaran Sepang.

projek perumahan swasta

Dalam tempoh pemulihan projek yang dipantau dan dimediasikan oleh KPKT, pelbagai isu teknikal telah berjaya diselesaikan. Antaranya adalah isu pencawang TNB, isu permohonan permit untuk pemasangan kabel daripada Koridor Utiliti Selangor (KUSEL), isu jalan masuk dengan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( JBPM)  serta penyelarasan dengan Majlis Perbandaran Sepang bagi memudahkan proses kelulusan. 

Projek ini dijangka akan memperoleh CCC pada bulan September 2024 memandangkan  hampir kesemua surat sokongan bagi tujuan pengeluaran CCC telah diperolehi. Seramai 18  orang pembeli yang telah menunggu unit masing-masing selama 12 tahun akan mendapat  manfaat daripada pemulihan projek ini yang mempunyai Nilai Pembangunan Kasar (Gross  Development Value, GDV) berjumlah RM14.8 juta. 

YB Datuk Hajah Aiman Athirah turut mengumumkan bahawa bagi pelaporan TFST KPKT  bulan Julai 2024, terdapat sebanyak 231 projek perumahan berstatus lewat, 382 projek  sakit dan 114 projek terbengkalai telah dikenal pasti dan direkodkan oleh Jabatan Perumahan Negara (JPN).

Kesemua projek lewat, sakit dan terbengkalai yang terkini  membawa GDV sebanyak RM147.28 bilion. 

Pencapaian keseluruhan sejak TFST ditubuhkan pada 30 Disember 2022, bagi tempoh  bermula Disember 2022 hingga 31 Julai 2024, sebanyak 757 projek berjaya dipulihkan  iaitu 89,165 unit rumah dengan GDV sebanyak RM63.27 bilion.

Manakala pencapaian  TFST bagi tempoh 1 Januari 2024 hingga 31 Julai 2024 adalah sebanyak 305 projek iaitu  35,468 unit perumahan swasta telah berjaya dipulihkan dengan GDV bernilai RM23.46  bilion.

Jumlah projek yang berjaya dipulihkan ini merangkumi 286 projek yang telah memperoleh CCC, 14 projek yang berstatus lewat kembali menjadi lancar dan lima (5) projek terbengkalai berjaya dipulihkan melalui kaedah penyiapan projek sehingga memperoleh CCC/CFO dan kaedah penyelesaian pembeli. 

Kejayaan ini menunjukkan bahawa usaha dan intervensi Kerajaan MADANI dalam memastikan projek-projek yang bermasalah ini dapat kembali lancar dan disiapkan bagi mencapai matlamat untuk diserahkan kepada pembeli. Status projek-projek ini yang dilaporkan secara berkala melalui mesyuarat TFST turut diperhalusi bagi mencari jalan  penyelesaian sewajarnya.  

projek perumahan swasta

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2024 ini, lawatan tapak dan pemantauan secara rapi merupakan agenda tetap dan dipergiatkan oleh pasukan KPKT. YB Timbalan Menteri telah turun padang meninjau 16 lawatan tapak projek perumahan swasta lewat, sakit dan terbengkalai yang diuruskan oleh JPN di mana tujuh (7) daripadanya telah diadakan pada  bulan Jun 2024.

Lawatan-lawatan tapak ini meliputi projek-projek yang terletak di negeri Pahang, Selangor, Perak, Pulau Pinang sehingga ke Perlis.

Menurut YB Timbalan Menteri, “Sesi libat urus yang diadakan ini merupakan kaedah yang  efektif dalam menyelesaikan isu-isu di tapak terutama dengan kerjasama PBT dan agensi agensi teknikal yang berkaitan.

Pelaksanaan sesi libat urus ini juga membuka ruang  kerjasama yang lebih erat dengan jabatan/agensi di peringkat daerah dan negeri serta  melancarkan lagi proses kerja terlibat.” 

Beliau turut memaklumkan bahawa KPKT telah menerima aduan daripada pembeli dan  mengenalpasti beberapa projek terbengkalai yang telah dikeluarkan daripada senarai projek  terbengkalai namun masih tidak diselesaikan sepenuhnya iaitu pembeli tidak menerima unit  masing-masing atau tidak menerima balik bayaran deposit serta pampasan yang dijanjikan. 

projek perumahan swasta

Justeru, pasukan TFST sedang melaksanakan penyiasatan dan semakan semula dengan PBT, pihak pelikuidasi dan akan mengadakan lawatan tapak untuk  mendapatkan pengesahan status terkini projek-projek tersebut.

Hal ini bagi  melaksanakan pertimbangan lanjut sebelum projek-projek terlibat dimasukkan semula  dalam statistik projek terbengkalai sedia ada.  

Hal ini menunjukkan KPKT sentiasa berusaha mencari jalan dalam menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh rakyat. Usaha berterusan Task Force KPKT akan dilaksanakan bagi membolehkan para pembeli-pembeli yang terlibat dengan projek perumahan swasta lewat, sakit dan terbengkalai dibantu sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat Malaysia MADANI. 

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.