Majlis Perasmian Seminar Pengiktirafan Warisan Dunia: Koleksi Surat-Menyurat Sultan Abdul Hamid (1882 – 1943)
ALOR SETAR, 27 OGOS 2024 – YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara telah merasmikan Seminar Pengiktirafan Warisan Dunia: Koleksi Surat Menyurat Sultan Abdul Hamid (1882-1943) yang dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara menerusi Arkib Negara Malaysia.
Koleksi Surat-menyurat Sultan Abdul Hamid ini telah diwartakan sebagai warisan dunia “Memory of the World Register” pada September 2001 oleh United Nation Educational, Scientific and Culture Organization (UNESCO) atas hasil usaha Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama para penyelidik tempatan.
Koleksi Surat-menyurat Sultan Abdul Hamid sebagai warisan dunia dipengaruhi oleh keistimewaannya sebagai satu-satunya kumpulan surat-menyurat manuskrip Melayu yang begitu bernilai dan tersusun jika dibandingkan dengan koleksi manuskrip surat-menyurat kerajaan lain di Gugusan Kepulauan Melayu silam.
Keunikan koleksi Surat-menyurat Sultan Abdul Hamid sebagai satu-satunya bukti rekod bertulis mengenai Kesultanan Melayu semasa zaman pemerintahan kerajaan asing yang masih dipelihara.
Koleksi ini banyak mengandungi maklumat penting dan gambaran yang jelas mengenai sejarah negeri Kedah sewaktu peralihan kuasa Siam dan kemasukan British dalam pentadbiran negeri Kedah.
YB Datuk Aaron Ago Dagang berkata kajian dan penyelidikan yang lebih lanjut ke atas surat-menyurat ini boleh memberikan impak yang sangat bermanfaat kepada masyarakat dan negara kerana ia boleh memberikan semangat dan motivasi untuk kita mencontohi pentadbiran dan kepimpinan baginda mengurus tadbir negeri Kedah untuk diaplikasikan dalam urusan pentadbiran dan tatakelola sama ada di peringkat jabatan mahupun persekutuan.
Beliau dalam ucapannya turut menyatakan bahawa sejarah mampu mendidik masyarakat untuk mengambil pengajaran daripada kesilapan dan kesalahan masyarakat terdahulu.
Sejarah juga boleh melahirkan masyarakat yang bersyukur dengan nikmat keamanan dan kesejahteraan, bersikap toleransi dan rasa kekitaan meskipun berbeza bangsa, agama dan budaya.
Sehubungan dengan itu, Arkib Negara Malaysia juga telah mewujudkan inisiatif Hari Ini Dalam Sejarah sebagai usaha untuk meningkatkan dan menyebar luas maklumat sejarah negara kepada masyarakat umum.
Kini Hari ini Dalam Sejarah (HIDS) didapati di pelbagai platform seperti 34 saluran radio RTM, slot kapsul masa IKIM FM, portal HIDS serta melalui aplikasi HIDS di Google Play Store dan Apple Play Store.
Seminar Pengiktirafan Warisan Dunia: Koleksi Surat-Menyurat Sultan Abdul Hamid (1882-1943) ini diadakan di Raia Hotel & Convention Centre Alor Setar,Kedah. Pameran Surat-Menyurat Sultan Abdul Hamid bertemakan “ Warkah Warisan Dunia” juga diadakan untuk tatapan pengunjung bagi menambahkan ilmu pengetahuan dan memberi gambaran situasi ekonomi, politik, sosiobudaya dan sejarah diplomatik negeri Kedah khususnya sebagai wadah utama sistem pentadbiran kerajaan Kedah pada ketika itu.
Selain pameran bergambar, turut diadakan Demonstrasi Pemuliharaan Bahan Arkib untuk mendedahkan peranan Arkib Negara Malaysia sebagai penyimpan dan pemelihara khazanah warisan negara.