Siakap Keli
malaysia madani

Malaysia Madani: Jiwa Merdeka Slogan Pengukuhan Integrasi Nasional 

Malaysia Madani: Jiwa Merdeka Slogan Pengukuhan Integrasi Nasional 

Saya dan seluruh tenaga kerja Kementerian Perpaduan Negara ingin  mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-67 kepada semua rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya.

Sambutan ini adalah platform yang tepat bagi kita sama-sama mengukuhkan integrasi dan nilai kebersamaan sesama rakyat Malaysia. Tema pada tahun ini adalah Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka. ‘Malaysia MADANI’ tunjang kemakmuran dan kemajuan negara melalui dukungan enam nilai teras utama.

Sementara ‘Jiwa Merdeka’ menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan  semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif. 

Semenjak Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan 67 tahun  yang lalu, kita telah menerima bahawa kemajmukan dan kepelbagaian yang  wujud sebagai kekuatan utama negara. Pada usia negara 67 tahun ini, kita  sebagai rakyat Malaysia harus mengutamakan konsep Faham, Hormat dan Terima.

Sikap ini perlu dihayati oleh setiap lapisan masyarakat di setiap  peringkat. Pemahaman adalah kunci pada suatu penerimaan yang akan menepis segala kegusaran tersebut. Kita harus menerima bahawa perbezaan yang dimiliki adalah suatu kepelbagaian dan anugerah istimewa kepada kita.  

Maka, menjadi kemestian bagi setiap dari kita untuk memahami budaya, adat resam, agama dan cara hidup setiap kaum yang ada di negara ini. Apabila kita saling memahami, maka ruang untuk saling menerima dan  menghormati akan terbuka lebih luas serta jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan.

Secara tidak langsung, tentunya ini dapat memupuk semangat kesatuan dalam masyarakat. 

Kementerian Perpaduan Negara selaku peneraju Agenda Perpaduan Nasional telah diberi kepercayaan untuk menyelaras Kontijen Perpaduan Malaysia MADANI dalam Segmen Komuniti acara perbarisan dan perarakan  pada esok yang akan melibatkan 600 orang peserta berpakaian etnik dan tradisi mewakili pelbagai kaum dan etnik di Semenanjung Malaysia, Sabah  dan Sarawak termasuk Orang Asal. 

Perpaduan menjadi tonggak utama dalam membina Malaysia MADANI. Dalam mengekalkan semangat cintakan negara, saya menyeru agar semua rakyat Malaysia memainkan peranan penting dalam menghayati kepelbagaian budaya serta menghormati perbezaan agama.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Perpaduan Negara akan terus memberikan focus dalam meningkatkan semangat perpaduan, kenegaraan, jati diri, muhibbah, kebersamaan, integrasi nasional dan kesukarelawanan. 

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-67. 

Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka! 

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.