Ana Victoria Espino: Peguam Sindrom Down Pertama Di Dunia
Sejarah telah tercipta di Zacatecas, Mexico, apabila Ana Victoria Espino de Santiago berjaya menjadi peguam pertama di dunia yang mempunyai Sindrom Down.
Wanita berusia 25 tahun itu memperoleh ijazah undang-undang dari Universidad Autónoma de Zacatecas selepas menamatkan pengajian selama lima tahun.
Dengan semangat yang tinggi dan dorongan kuat, Espino berjaya mengatasi pelbagai halangan dalam sistem pendidikan yang tidak direka untuk individu berkeperluan khas.
Di Mexico, berbeza dengan Amerika Syarikat dan negara lain, tiada peperiksaan kelayakan peguam.
Sebaliknya, memiliki ijazah undang-undang sudah mencukupi untuk menjadi peguam, lapor My Modern Met.
Namun, meski memiliki ijazah undang-undang, Espino sebenarnya lebih berminat dalam bidang politik daripada mempertahankan hak di mahkamah.
Matlamat utamanya ingin menjadi wakil rakyat dan menggunakan pengetahuannya dalam bidang undang-undang untuk memperbaiki keadaan hidup golongan kurang upaya.
BACA: Luis Suarez Umum Persaraan, Bakal Tamatkan Karier 17 Tahun
Menggenggam segulung ijazah bukanlah tugas yang mudah, tetapi dia dikelilingi oleh keluarga dan individu yang mempercayai keupayaannya.
Selepas tamat sekolah menengah, Espino memohon kemasukan ke universiti dan berjaya lulus dalam peperiksaan kemasukan.
Malangnya, rektor universiti ketika itu memaklumkan bahawa dia tidak boleh diterima masuk. Ini kerana universiti tidak mempunyai kemudahan yang mencukupi untuk pelajar dengan Sindrom Down.
Walau bagaimanapun, berkat semangatnya yang tidak pernah luntur, seorang pensyarah tampil untuk membantunya.
Sepanjang lima tahun di universiti, pensyarah tersebut menemani Espino ke semua kelasnya, membantunya belajar dan mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan.
“Saya sangat menyukai undang-undang kerana ia membolehkan saya mempertahankan hak golongan kurang upaya dan hak asasi manusia serta mempertahankan hak saya sendiri.
“Saya ingin membantu golongan kurang upaya, membantu mereka yang tidak mempunyai suara, kerana itulah saya menjadi seorang peguam,” ujarnya kepada NTR TV seperti dilapor My Modern Met.
Dalam pada itu, Espino turut menyeru para pendidik agar sentiasa menyokong, mendengarkan dan memberikan bantuan tambahan kepada pelajar jika diperlukan.
“Guru memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih inklusif,” tambahnya.
BACA: Paralimpik Paris 2024: Genggam Pingat Emas, Liek Hou Bakal Terima Ganjaran Lumayan
Kerjaya Espino sebagai pejuang hak golongan kurang upaya sebenarnya bermula sebelum dia mengejar ijazah undang-undangnya.
Pengalaman pertamanya dalam bidang undang-undang berlaku di forum-forum perundangan, di mana dia berkongsi kisahnya untuk meningkatkan kesedaran tentang keadaan hidup golongan kurang upaya.
Selain itu, Espino juga merupakan seorang seniman berbakat, yang telah mengadakan beberapa pameran seni, antaranya di lobi Kongres Kesatuan di Mexico City.
Berbicara mengenai masa depannya, Espino menjelaskan tentang visi dan hasrat yang ingin dicapainya.
“Saya melihat diri saya sebagai seorang wakil rakyat tempatan.
“Saya sangat berminat dengan undang-undang, dan saya mahu membuka jalan supaya semua individu yang hidup dengan kecacatan boleh menduduki ruang-ruang penggubalan keputusan.
“Ini kerana keadaan kami tidak menghalang suara, kehendak dan keupayaan kami untuk menyumbang kepada peningkatan negeri,” ujarnya dalam satu temu bual.
BACA: Arab Saudi Bina Kereta Kabel Ke Gua Hira
Sumber: My Modern Met