Siakap Keli
Apa Jadi Pada Bumi
Kredit: Live Science

Apa Yang Jadi Dengan Bumi Jika Semua Manusia Tiba-tiba Lenyap?

Apa Yang Jadi Dengan Bumi Jika Semua Manusia Tiba-tiba Lenyap? 

Bumi merupakan rumah, yang tiada duanya, kepada umat manusia. Sejak sekian lama, manusia hidup membiak dan mencipta tamadun di planet ini.

Banyak sudah tanda-tanda peradaban manusia, sama ada yang dari kerajaan purba seperti Piramid atau ciptaan manusia moden seperti roket serta kapal terbang dapat dilihat.

Pendek kata, kemajuan demi kemajuan terus berjaya dicapai ketika manusia gigih meneroka dan terus meneroka sumber alam yang sedia ada.

Namun begitu, pernah tak anda terfikir apa yang akan jadi kepada Bumi dan kehidupan lain sekiranya manusia lenyap secara tiba-tiba?

Walaupun situasi berkenaan hampir mustahil untuk berlaku, namun sebahagian besar populasi manusia pernah beberapa kali terancam dek penularan wabak tertentu.

Misalnya, penularan wabak Black Death pada abad ke-14 dianggarkan telah mengorbankan kira-kira 70 peratus populasi Eropah ketika itu.

Manakala pandemik influenza pada awal 1900 pernah menyaksikan kira-kira 75 juta orang manusia dijangkiti.

Jadi, kali ini kami di SK ingin berkongsi dengan anda semua beberapa jangkaan apa yang akan terjadi dengan planet ini sekiranya manusia tiba-tiba lenyap sepenuhnya.

Alam sekitar mula ‘menguasai’ bumi

Menurut portal Science ABC, alam memang diketahui sangat pantas ‘mengawal’ segalanya apabila tiada lagi campur tangan daripada manusia. Jadi, banyak perubahan-perubahan ketara dapat dilihat dalam jangka masa yang pendek.

Misalnya tanpa sebarang penyelanggaraan, rumah yang diperbuat daripada kayu akan diserang oleh haiwan perosak seperti anai-anai. Struktur-struktur rumah akan cepat reput dan akan runtuh.

Manakala tumbuhan seperti rumput dan semak-samun akan tumbuh dengan pantas di sekeliling rumah apabila dibiarkan. Bandar-bandar besar yang dahulunya adalah hutan batu konkrit akan berubah menjadi hutan semula seolah-olah belum diteroka.

Selain itu, kualiti dan ketahanan infrastruktur yang memerlukan penjagaan khas mengikut perubahan cuaca juga akan merosot dengan ketara seiring dengan perubahan masa.

Kemudahan-kemudahan seperti paip air yang pecah apabila tidak dibaiki akan menyebabkan air bertakung di sesuatu kawasan. Seperti yang diketahui umum, air merupakan antara musuh utama kepada kestabilan struktur.

Lampu satu persatu akan terpadam

Kota-kota yang disimbahi dengan cahaya seperti dilihat dari angkasa lepas akan menjadi gelap satu persatu dalam tempoh beberapa jam.

Tanpa pengawasan manusia, stesen penjana kuasa yang bergantung kepada bahan bakar untuk menjana elektrik akan berhenti beroperasi apabila kehabisan bahan bakar.

Manakala panel-panel solar juga akan akan segera terjejas dengan perubahan alam. Misalnya, panel solar yang dipasang di kawasan padang pasir akan berhenti berfungsi apabila ditutup dengan pasir.

Stesen penjana kuasa hidroelektrik yang ada di empangan-empangan mungkin menjadi satu-satunya stesen penjana kuasa yang mampu bertahan lebih lama berbanding yang lain.

Kesan kepada haiwan sekiranya manusia lenyap

Haiwan jinak atau haiwan ternakan yang dipelihara oleh manusia mungkin akan mati atau menjadi mangsa kepada haiwan-haiwan pemansa lain.

Begitu juga dengan haiwan peliharaan domestik seperti kucing dan anjing yang bergantung kepada tuannya. Bahkan mungkin haiwan-haiwan ini terpaksa menyesuaikan diri dengan cara kehidupan liar bagi mengelak daripada kepupusan.

Haiwan-haiwan di zoo yang tidak lagi berada di bawah pengawasan manusia akan mencari jalan untuk melepaskan diri bagi mendapatkan makanan.

Pada masa yang sama, populasi haiwan-haiwan perosak yang bergantung hidup dengan sampah sarap manusia seperti lipas dan tikus juga mungkin akan jatuh dengan mendadak.

Malah, tikus-tikus juga mungkin menjadi haiwan buruan kepada pemangsa-pemangsa lain seperti kucing domestik yang terpaksa menyesuaikan diri dengan kehidupan liar.

Di lautan, populasi hidupan akuatik seperti ikan mungkin akan bertambah dan mungkin boleh mencapai ke paras sebelum mula diburu oleh manusia.

Seiring dengan peredaran masa, populasi haiwan secara umum akan kembali menjadi stabil. Kehadiran unta di benua Australia, huski di India dan singa di Amerika Syarikat mungkin akan menjadi pemandangan yang biasa.

Secara ringkasnya, dapatlah disimpulkan semua operasi atau sistem yang bergantung dengan campur tangan manusia akan terganggu dan akan berhenti berfungsi secara perlahan-perlahan.

BACA: Kenapa Lori Tangki Minyak Selalu Berbentuk Silinder? Bukan Saja-saja, Ini Sebabnya

Sumber: Science ABC 

Athirah

When nothing goes right, go left.