Bagaikan Mati, Hidup Semula – Mangsa Dihempap Kayu Balak
GUA MUSANG — “Saya rasa bagaikan mati, hidup semula”.
Demikian luah Siti Norelyana Kamarulzaman, 21, yang menjadi mangsa dihempap kayu balak terjatuh dari lori di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara pada 9 Julai lalu, lapor Sinar Harian.
Tidak menyangka dapat jalani kehidupan seperti biasa, Siti Norelyana meluahkan rasa syukur kerana telah kembali sembuh selepas kejadian ngeri itu menimpa dirinya.
Apatah lagi, beberapa organ dalamannya seperti hati, paru-paru, buah pinggang hampir rosak serta mengalami patah pada lima tulang rusuk serta belakang dalam insiden berkenaan.
Wanita tersebut telah dibenarkan pulang ke rumah selepas hampir sebulan menerima rawatan dan beberapa kali terpaksa ditidurkan di hospital.
“Bayangkan pada hari kejadian sehingga 7 Ogos lalu saya keluar dari HRPZII (Hospital Raja Perempuan Zainab II) ramai yang menyangka sudah meninggal dunia.
“Alhamdulillah, berkat doa ahli keluarga, semua rakyat Malaysia serta tunang, ALLAH masih memberi peluang kepada saya untuk menikmati kehidupan,” ujarnya sewaktu ditemui di rumah keluarganya di Paloh 3 semalam.
Menceritakan semula kejadian, anak keenam daripada tujuh beradik itu berkongsi dia yang dalam perjalanan ke tempat kerja terdengar bunyi sangat kuat ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat.
Tambahnya, ketika kejadian berlaku dia masih dalam keadaan sedar dan melihat sendiri bagaimana kayu balak itu bergolek menuju ke arahnya.
Mengulas lebih lanjut, ketika itu dia merasakan kesakitan yang amat sangat namun kudratnya tidak terdaya.
“Saya sedar apa yang berlaku walaupun tidak respon kepada orang sekeliling.
“Saya hanya mampu menahan sakit dan mendengar orang sekeliling bercakap sehinggalah dibawa ke hospital.
“Sepanjang menerima rawatan juga saya sedar apa yang diborakkan oleh ahli keluarga serta doktor dan jururawat tetapi hanya mampu memberi tindak balas dengan menggerakkan anggota badan.
“Setiap hari saya bercakap dengan diri sendiri, kena kuat, jangan lemah semangat, kena bangun berjalan semula,” kongsinya.
Seperti tidak percaya insiden itu pernah dilaluinya, dia meluahkan rasa syukur kerana masih dipanjangkan umur menjalani kehidupan bersama ahli keluarga seperti sebelumnya.
Dalam masa yang sama, dia turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang banyak membantu sepanjang menerima rawatan di HRPZII.

Tunang setia menemani, menunggu di hospital
Sementara itu, tunangnya, Nik Amnan Arif Nik Anuwar, 22, yang masih setia di sisinya sanggup mengorbankan masa menunggu Siti Norelyana di hospital meskipun mangsa berada dalam keadaan ditidurkan.
Jelas Siti Norelyana, sepatutnya mereka disatukan pada akhir tahun ini namun niat tersebut terpaksa dibatalkan.
“Kami sepatutnya disatukan pada Disember ini, namun melihat keadaan saya begini ia mungkin terpaksa ditanggungkan ke tahun hadapan.
“Ini kerana sehingga sekarang saya masih berada dalam keadaan trauma terutama bila melihat lori balak, mendengar bunyi yang kuat serta masih bermimpi tentang kejadian tersebut.
“Disebabkan itulah saya terpaksa tinggal di rumah kakak di sini (Paloh 3) kerana rumah ibu di Simpang Aring, Ciku 4 terletak di tepi jalan raya,” ujarnya.
Keajaiban tuhan yang tidak dapat digambarkan
Mengenangkan kembali keadaan anaknya, ibunya, Miskalsom Domea, memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT apabila anak perempuannya kembali sihat.
“Setiap hari hanya perkataan ‘kritikal’ yang keluar dari mulut doktor, sebagai ibu hanya doa yang mampu saya panjatkan lebih-lebih lagi ramai yang menyangka umur Siti Norelyana tidak panjang.
“Alhamdulillah, dia sembuh dan boleh meneruskan kehidupan walaupun dalam keadaan trauma,” katanya.
Melihat anaknya dimasukkan lima pek darah dalam masa sejam, wanita berusia 59 tahun itu mengakui kejadian itu masih menghantuinya selain melihat ditidurkan.
Sehingga kini, Siti Norelyana perlu meneruskan rawatan di HRPZII dua kali sebulan selain dia dan keluarga berusaha melupakan dari trauma kejadian.
Terdahulu, seorang wanita hampir maut apabila motosikal yang ditunggangnya dihempap kayu balak dalam kejadian di Persimpangan Bendahara Jalan Gua Musang-Kuala Krai.
Difahamkan, lori yang membawa muatan kayu balak terbabit terbalik ketika mengambil selekoh pada jam 11.23 pagi itu.
Dia ketika itu dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Bandar Utama Gua Musang, sewaktu insiden tersebut telah dikejarkan ke Hospital Gua Musang bagi mendapatkan rawatan.
Sumber: Sinar Harian