Siakap Keli
menara berkembar petronas

Menara Berkembar PETRONAS Raikan Ulang Tahun Ke-25 Dengan Keunikan Warisan & Kebanggan Malaysia 

Menara Berkembar PETRONAS Raikan Ulang Tahun Ke-25 Dengan Keunikan Warisan & Kebanggan Malaysia 

Kuala Lumpur (2 September 2024): Sempena ulang tahun ke-25 Menara Berkembar PETRONAS, seramai 4,000 pengunjung telah mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti kesenian dan kebudayaan di Lawatan Menara Berkembar PETRONAS dari 30 Ogos sehingga 1 September 2024.

 

Sambutan tiga hari ini menandakan ulang tahunnya ke-25 sejak mercu tanda ikonik itu pertama kali dibuka pada tahun 1999.

 

Para pengunjung telah melawat mercu tanda tersebut dan berpeluang menikmati pemandangan bandar ibu kota negara, Kuala Lumpur yang mengagumkan di jejantas udara (Skybridge), Tingkat 41 dan dek pemerhatian (Observation Deck), Tingkat 86.

 

Kedua-dua menara dan aktiviti kebudayaan yang merupakan simbol kebangaan Malaysia telah menawarkan pengalaman yang unik kepada pengunjung-pengunjung tempatan dan antarabangsa di samping mendalami pemahaman dan penghayatan terhadap kekayaan warisan negara Malaysia.

 

Aktiviti-aktiviti termasuklah pelbagai aktiviti kebudayaan seperti demonstrasi lukisan Tiffin, kraf buku nota songket, tenunan mengkuang, lukisan batik, dan persembahan kebudayaan tradisional di Tingkat 83.

menara berkembar petronas

Para pengunjung juga melawat pameran foto mini di kawasan lobi, yang mempamerkan karya-karya jurugambar Siva Kumar, Aereon Wong, dan Amri Ginang. Pameran ini menyerlahkan keindahan seni bina menara ini dan keindahan bandar Kuala Lumpur.

 

Pengunjung-pengjung juga berkesempatan untuk beraksi dan bergaya bagi gambar-gambar “majalah kulit” dalam Photo Op Box. Tambahan pula, mereka turut bergambar bersama seni anamorfik ulang tahun unik, yang dihasilkan secara kreatif daripada pelbagai bahan kitar semula, bagi mempromosikan aspek kemampanan dan kelestarian.

 

Pengunjung yang telah menempah tiket mereka lebih awal menerima kit ulang tahun eksklusif. Setiap kit termasuklah hadiah bertemakan budaya, di mana mereka menerima salah satu daripada berikut: dompet Kopi O, dompet Teh Tarik, ataupun dompet Cendol, mewakili hidangan kegemaran rakyat Malaysia dan menyerlahkan warisan kulinari yang kaya di negara ini.

 

Selain itu, kit tersebut juga mengandungi baucar yang memperkayakan pengalaman kunjungan mereka.

menara berkembar petronas

Ezarisma Azni Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petrosains Sdn. Bhd. berkata: “Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kami atas yang diberikan oleh semua pengunjung dari seantero dunia. Sambutan ini bukan sahaja menandakan detik penting bagi kami tetapi juga mencerminkan komitmen kami yang berkekalan untuk berkongsi kebanggaan dan keunikan Malaysia dengan seluruh dunia. Kami amat berterima kasih atas semua sokongan yang telah menjadikan perjalanan ini lebih bermakna”.

 

“Sempena sambutan jubli perak ini, kami amat berbesar hati kerana diberi peluang dan mandat untuk menawarkan pengalaman ini yang sememangnya dapat meningkatkan pemahaman dan penghargaan terhadap budaya dan tradisi negara tercinta ini. Kami turut berharap agar dapat meneruskan perjalanan ini bersama semua untuk banyak tahun akan datang,” tambahnya.

 

Turut hadir semasa aktiviti tersebut pada 30 Ogos 2024 adalah Ketua Pengarah Istana Budaya, Zubaidah Mukhtar.

 

Petrosains Sdn. Bhd. adalah anak syarikat di bawah PETRONAS, yang telah diberikan mandat untuk menguruskan operasi lawatan dua buah institusi yang terkemuka di negara ini – Petrosains, The Discovery Centre dan Menara Berkembar PETRONAS. Setakat Jun 2024, tanda mercu ini telah menyambut kedatangan 7.5 juta pengunjung dari seluruh dunia.

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.