Ribut Petir, Hujan Lebat Diramal Di Tujuh Kawasan Petang Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di tujuh kawasan hingga jam 5 petang ini.
Dalam hantaran tersebut, kawasan yang diramal terlibat adalah sebahagian kawasan di Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
“Bagi Terengganu, daerah yang terlibat adalah Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.
“Manakala Pahang di sebelah Bentong, Bera dan Rompin.
“Selain itu, di negeri Selangor kawasan yang terlibat adalah Hulu Langat dan Sepang. Keumdian di Johor hanya di daerah Segamat,” maklum MetMalaysia dalam kenyataan sebentar tadi.
Dalam pada itu, seluruh kawasan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka dijangka dilanda cuaca buruk itu.
Sebelum ini, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama untuk aktiviti perkapalan di kawasan perairan Phuket.
“Angin kencang barat berkelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di kawasan perairan Phuket sehingga Sabtu, 7 September 2024.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” maklum jabatan itu.
Amaran yang sama turut dikeluarkan di kawasan perairan utara Condore, utara Reef North, Layang-Layang dan Palawan bermula 5 September 2024 sehingga Sabtu, 7 September ini.
Sumber: MET Malaysia