Keputusan Permohonan Kemasukan Ke Universiti Awam Bagi Lepasan STPM/ Setaraf Diumum Pada 6 September 2024
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ingin memaklumkan bahawa keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA) peringkat Sarjana Muda Sesi Akademik 2024/2025 bagi lepasan STPM/ Setaraf (STPM, STAM, Matrikulasi, Asasi dan Diploma) akan diumumkan pada 6 September 2024 (Jumaat).
Keputusan boleh disemak mulai 6 September 2024, jam 12.00 tengah hari hingga 15 September 2024, jam 5.00 petang melalui platform seperti berikut:
a) Secara atas talian melalui pautan;
- https://jpt.utm.my
- https://jpt.uum.edu.my
- https://jpt.unimas.my
- https://jpt.ums.edu.my
- https://jpt.umt.edu.my
b) Melalui Aplikasi Mobile UPUPocket di telefon pintar.
Pengesahan setuju terima tawaran bermula pada 7 September 2024 hingga 15 September 2024 di laman web UA masing-masing. Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh UA kepada yang berjaya mulai 7 September 2024 setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan.
Hanya pemohon yang tidak berjaya mendapat tawaran sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline® bagi kemasukan ke UA di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari mulai 6 September 2024, jam 12.00 tengah hari hingga 15 September 2024, jam 5.00 petang.
Tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2024/2025 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan UA tidak dibenarkan. Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian.