Dipercayai Meninggal 4 Tahun Lalu, Rangka Warga Emas Ditemui Dalam Rumah
KEPONG – Rangka seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun telah ditemui di sebuah pangsapuri pada Khamis lalu, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari memaklumkan pihak polis telah menerima laporan penemuan tersebut daripada anak mangsa.
“Apabila sampai di rumah, pintu dalam keadaan berkunci dan selepas pengadu memecahkan pintu rumah tersebut, dia melihat ayahnya telah meninggal dunia dalam keadaan hanya tinggal rangka,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
BACA: Selamat Mangsa Kereta Terjunam Dalam Parit, Dua Pemuda Terima Sijil Penghargaan Bomba
Difahamkan, mangsa tinggal sendirian selepas bercerai dengan isterinya.
“Kali terakhir pengadu menghubungi ayahnya empat tahun lalu dan tidak dapat dipastikan berapa lama lelaki itu meninggal dunia.
“Rangka tersebut telah diserahkan kepada keluarganya,” katanya.
Menurut Ahmad Sukarno, proses bedah siasat rangka mangsa yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur hari ini telah selesai.
BACA: Warga Emas Mangsa Insiden Perlanggaran Dua Perahu Ditemukan Lemas
Dalam pada itu, Exco Keselamatan apartmen tersebut, Ab Razak Isa berkata dia antara individu yang membantu memecahkan mangga pintu rumah atas permintaan anak mangsa yang meragui keberadaan bapanya setelah tidak mendengar khabar berita, lapor Bernama.
Jiran mangsa pula berkata sepanjang tinggal di situ, dia tidak pernah terhidu bau busuk sedangkan setiap hari, dia akan melalui unit berkenaan untuk menghantar anak ke rumah pengasuh.
“Sejak empat tahun lepas, saya memang akan lalui kaki lima ini. Tidak sekali pun berasa curiga atau berbau apa-apa. Tiba-tiba dengar ada penemuan rangka manusia dalam rumah berkenaan,” katanya.
BACA: Mayat Bayi Bawah Lantai Simen: Polis Perak Mohon Kerjasama JIM Kesan Suspek
Terdahulu, pihak polis telah menemui mayat bayi perempuan tertanam di bawah lantai simen di sebuah rumah di Taman Sri Rokam, Ipoh pada 28 Ogos. Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, seorang wanita warga Indonesia sedang dikesan bagi membantu siasatan.
Mayat mangsa ditemui oleh pemilik rumah yang menyewakan rumah itu kepada suspek sejak tiga tahun lepas.
Sumber: Sinar Harian