Siakap Keli
selamat mangsa kereta terjunam
Kredit: Bernama

Selamat Mangsa Kereta Terjunam Dalam Parit, Dua Pemuda Terima Sijil Penghargaan Bomba

Selamat Mangsa Kereta Terjunam Dalam Parit, Dua Pemuda Terima Sijil Penghargaan Bomba

SERI ISKANDAR, 10 Sept (Bernama) — Tindakan berani dua pemuda terjun ke dalam parit bagi menyelamatkan lima sekeluarga termasuk seorang bayi yang kereta dinaiki mereka terbabas dan menjunam ke dalam parit pada 24 Ogos lepas, mendapat penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.

Mohd Azwan Basirun, 38, dan rakannya, Qairulizwan Zulkefly Amin, 31, hari ini menerima sijil penghargaan yang disampaikan Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bulan September JBPM Perak di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar di sini.

Mengimbas kejadian yang berlaku di Kilometer 15, Jalan Selama-Bagan Serai itu, Mohd Azwan berkata ketika itu dia dan rakannya dalam perjalanan ke Pulau Pinang dengan bermotosikal.

BACA: Kepala Air Landa Yan, 4 Kampung Alami Banjir Kilat

Dia berkata semasa melalui lokasi kejadian mereka awalnya berasa pelik melihat tiang di tepi jalan tumbang namun tidak nampak sebarang kenderaan.

“Mulanya tak perasan ada kereta dalam parit, tapi apabila saya terdengar tangisan bayi dan kanak-kanak kami terus berhentikan motosikal.

“Kami nampak sebuah kereta berada di dalam parit dan apabila mendengar tangisan bayi saya tidak berfikir panjang terus terjun ke dalam parit. Masa itu saya hanya fikir nak selamatkan bayi tersebut dan terus terbayang anak saya di rumah,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

BACA: Penumpuan Angin Di Utara: Ribut Petir, Hujan Lebat Dalam Tempoh Lebih Panjang

Mohd Azwan berkata paras air agak dalam malah ketika berenang ke arah kereta, kenderaan itu sudah tenggelam tetapi kebetulan semua mangsa sempat keluar.

Bercerita lanjut, dia berkata disebabkan kejadian itu hasrat untuk ke Pulau Pinang atas urusan membaiki motosikal terpaksa dibatalkan.

“Kami batalkan niat ke Pulau Pinang hari itu dan terus terjun dalam parit, masa itu tak terfikir ada kayu atau apa-apa, misi nak selamatkan mereka terlebih dahulu,” katanya.

Kejadian pada 3.45 petang itu berlaku apabila Proton Iriz dipandu seorang wanita hilang kawalan dan terbabas sebelum menjunam ke dalam parit berkenaan selepas cuba mengelak sekumpulan monyet.

Video mereka menyelamatkan mangsa kemalangan itu tular baru-baru ini dalam media sosial.

Sumber: BERNAMA

Azizah Najib

Menulis tanpa henti