Beri Perkhidmatan Cemerlang, Pasangan Korea Selatan Puji Pegawai JPJ Sarawak
Ada kalanya, pekerja boleh merasa lelah dengan pekerjaan mereka susulan menghadapi masalah yang tidak henti hingga membuatkan mood berada dalam keadaan tidak baik.
Namun, gangguan jiwa itu boleh diubati dengan memberi pujian terhadap prestasi kerja sekaligus meringankan beban yang ada dalam diri.
Mendapat penghargaan daripada rakan sekerja sentiasa membuatkan diri berasa gembira tetapi apabila menerima pujian daripada orang asing, berganda lebih bahagia.
Misalnya, seperti yang dialami oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, di mana salah seorang kakitangan mereka menerima surat menyentuh hati daripada dua warga Korea Selatan.
Dalam satu hantaran di Facebook, JPJ Sarawak berkata dua warga Korea Selatan itu memuji perkhidmatan luar biasa yang diberikan oleh pegawai JPJ di cawangan Kuching.
JPJ Sarawak memuat naik surat tersebut dengan menzahirkan rasa berterima kasih atas pengiktirafan yang diberikan oleh dua individu tersebut.
“Terima kasih atas maklum balas positif anda terhadap perkhidmatan yang disediakan oleh JPJ Sarawak.
“Kami menghargai penghargaan anda dan akan terus berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
BACA: Ramai Terkejut Lepas Dapat Tahu Bayaran Untuk Jemput Dolly Chaiwala
Surat tulisan tangan untuk pegawai Aszerina
Difahamkan, surat tulisan tangan yang ditulis oleh pasangan itu ditujukan khas kepada Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili.
Surat itu ditulis kerana mahu memaklumkan tentang layanan terbaik daripada salah seorang pegawai bernama Aszerina terhadap mereka.
Erica dan Sung memuji layanan Aszerina yang membantu mereka untuk menukar lesen memandu Korea Selatan mereka kepada lesen Malaysia.
Pada awalnya, mereka menerima e-mel berkenaan dengan lesen memandu Malaysia tersedia untuk diambil dan mahu membalasnya.
Namun, alamat e-mel itu tidak boleh dibalas membuatkan mereka mengambil keputusan mengutuskan surat secara bertulis.
Pasangan itu berkata pegawai tersebut menjelaskan dokumen yang diperlukan dan membimbing mereka melalui keseluruhan proses.
Semasa proses tersebut, Aszerina sentiasa memberikan senyuman yang manis dan ia membuatkan pasangan itu berasa gembira.
“Kami tidak boleh lupa untuk mengucapkan terima kasih kepadanya kerana begitu baik kepada kami sebagai orang asing.
“Terima kasih diucapkan kepadanya, kami semakin menyayangi Malaysia dan Kuching.
“Pengalaman pertama kali melawat JPJ menjadi satu kenangan indah buat kami,” tulisnya dalam surat itu.
Penghargaan yang dikongsikan oleh pelancong itu bukan sahaja menunjukkan sifat profesional kakitangan JPJ Sarawak tetapi ia membuktikan sikap dan perbuatan yang baik mampu meninggalkan kesan yang mendalam, tidak kira sama ada kepada pengunjung atau orang awam sendiri.
https://www.facebook.com/ukkjpjsarawak/posts/pfbid02CaJT9grUggUHBKzRJvTrFFucH1ynj5hZTbdMEGYmt6BEtbyV1v1kT67SnwnvUfyvl
Sumber: JPJ Negeri Sarawak/Facebook