Siakap Keli
ma63
Sumber : BERNAMA

KPM Terjemah Semangat MA63 Memperkukuhkan Pendidikan Di Sabah Dan Sarawak

KPM Terjemah Semangat MA63 Memperkukuhkan Pendidikan Di Sabah Dan Sarawak

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) optimis hasil Mesyuarat Majlis  Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang  dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim  pada Khamis dapat memperkukuhkan lagi pendidikan di Sabah dan Sarawak.  

Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat ini termasuk  mengenai keperluan merunding dengan Pengarah Pendidikan Negeri  Sarawak untuk melantik pegawai pendidikan daerah, pengetua dan guru  besar bagi mengisi kekosongan dan pemangkuan jawatan sebelum Menteri Pendidikan membuat kelulusan seperti yang termaktub dalam  Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). 

Langkah Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan (JTBPP) telah membuahkan hasil yang  positif apabila KPM bersetuju sepenuhnya dengan sepuluh (10) tuntutan  yang dikemukakan Kerajaan Negeri Sarawak.

Ini termasuk usaha untuk  mengukuhkan pelibatan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), kebenaran mengambil guru  Contract of Service (CoS) tertakluk kepada pelantikan oleh  Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berdasarkan  keperluan/keutamaan serta pelibatan dalam perancangan projek  pembangunan pendidikan.  

KPM turut bersetuju memberi perwakilan kuasa melulus projek  penyelenggaraan sekolah yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak atau  mana-mana pihak lain selain KPM kepada Pengarah Pendidikan Negeri  Sarawak, tertakluk kepada garis panduan yang sedang berkuat kuasa. 

Untuk rekod, Mesyuarat JTBPP Negeri Sarawak telah diadakan pada  Februari lalu manakala Mesyuarat JTBPP Negeri Sabah pula akan  dilangsungkan pada bulan Oktober 2024. 

KPM, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak  berkerjasama erat bagi memastikan pendidikan di kedua-dua buah negeri dapat terus dipertingkatkan dalam ruang lingkup semangat kesatuan MA63. 

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.