Siakap Keli
perlu tahu mpox sentuhan
Gambar: AFP

Boleh Merebak Melalui Sentuhan, Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Mpox

Boleh Merebak Melalui Sentuhan, Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Mpox

Baru-baru ini, dunia sekali lagi diancam dengan penyakit cacar monyet atau mpox selepas berlaku penularan di beberapa negara khususnya di Afrika.

Susulan itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan situasi cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi kepentingan antarabangsa (public health emergency of international concern).

Perkara ini tentunya menimbulkan persoalan dalam kalangan orang awam mengenai bagaimana wabak ini disebarkan hingga dilabelkan sebagai kecemasann kesihatan awam yang membimbangkan.

Sebelum pergi lebih jauh, mari kita ketahui terlebih dahulu apa itu penyakit cacar monyet.

Apa itu cacar monyet atau mpox?

Untuk makluman, penyakit cacar monyet merupakan penyakit yang disebabkan oleh virus monkeypox (mpox).

Virus tersebut juga terdapat dalam kalangan haiwan liar yang dijangkiti virus ini.

Ia boleh dihantar daripada haiwan yang membawa atau dijangkiti kepada orang yang mempunyai hubungan dengan mereka.

Jangkitan boleh berlaku apabila virus merebak antara orang, terutamanya melalui hubungan rapat (bersentuhan) atau dari persekitaran (melalui benda dan permukaan yang telah disentuh oleh seseorang yang menghidap penyakit itu).

Apakah simptom-simptom mpox?

Cacar monyet merebak
Gambar: AFP

Kebiasaannya, pesakit mpox akan mengalami ruam selama dua hingga empat minggu.

Diikuti dengan demam, sakit kepala, sakit otot, sakit belakang, tidak bermaya dan kelenjar bengkak (nodus limfa).

Lebih teruk, ruam kelihatan seperti lepuh atau luka, dan boleh menjejaskan muka, tapak tangan, tapak kaki, pangkal paha, bahagian kemaluan atau dubur.

Lesi (tisu tidak normal atau kudis) itu juga boleh ditemui di mulut, tekak, dubur, rektum atau faraj, atau pada mata. Bilangan kudis boleh berkisar antara satu hingga beberapa ribu.

Pun begitu, sesetengah mereka yang mengalami keradangan di dalam rektum (proctitis) boleh menyebabkan kesakitan yang teruk, serta keradangan pada alat kelamin hingga boleh menyebabkan kesukaran untuk membuang air kecil.

Dalam kebanyakan kes, gejala cacar monyet boleh hilang dengan sendirinya dalam masa beberapa minggu dengan penjagaan sokongan, seperti ubat untuk sakit atau demam.

Walau bagaimanapun, penyakit ini boleh menjadi teruk atau membawa kepada komplikasi dan juga kematian kepada sesetengah orang.

Gambar: AFP

Golongan yang berisiko yang dikatakan adalah bayi yang baru lahir , kanak-kanak, ibu mengandung, individu yang rendah imuninasi (termasuk pesakit HIV lanjutan yang berisiko tinggi untuk mendapat penyakit mpox yang lebih serius atau meninggal apabila dijangkiti).

Sekiranya gejala ini bertambah teruk, lazimnya berlaku lesi yang lebih besar dan lebih meluas terutamanya di bahagian mulut, mata dan alat kelamin.

Komplikasi ini termasuk jangkitan kuman yang teruk daripada lesi kulit hingga menjejaskan otak (ensefalitis), jantung (miokarditis) atau paru-paru (radang paru-paru), dan masalah mata.

Individu yang menghidap cacar air yang teruk berisiko untuk dimasukkan ke hospital dan memerlukan bantuan seperti ubat antivirus untuk pulih.

Menurut data, antara 0.1 peratus dan 10 peratus orang yang menghidap penyakit ini telah meninggal dunia.

Bagaimana penyakit ini merebak?

Untuk makluman, penyakit ini boleh merebak melalui tiga cara iaitu dari orang ke orang; dari haiwan kepada manusia; dan dari manusia ke haiwan.

Orang ke orang 

Penyakit ini boleh merebak dari orang ke orang terutamanya melalui hubungan rapat (bersentuhan) dengan seseorang yang menghidap cacar monyet.

Ia termasuklah berjumpa dengan individu itu (bercakap atau bernafas berdekatan antara satu sama lain, yang boleh menjana zarah pernafasan berjangkit), bercium atau melakukan hubungan seks.

Untuk makluman, virus ini juga berkemungkinan mampu bertahan untuk tempoh yang agak lama pada pakaian, tempat tidur, tuala, objek, elektronik dan permukaan yang telah disentuh oleh seseorang yang menghidap penyakit.

Cacar monyet merebak
Gambar: AFP

Oleh itu, orang lain yang menyentuh barang-barang ini mungkin akan dijangkiti, terutamanya jika mereka mempunyai sebarang luka atau melecet atau menyentuh mata, hidung dan mulut.

Bagi wanita hamil, virus ini boleh merebak kepada janin sama ada semasa atau selepas kelahiran melalui sentuhan kulit ke kulit.

Pada 2022, penyakit global ini kebanyakannya merebak menerusi hubungan seks.

Haiwan kepada manusia

Gambar: AFP

Seseorang juga boleh dijangkiti daripada haiwan yang membawa virus ini seperti beberapa spesies monyet atau tikus darat (seperti tupai pokok).

Jangkitan ini berlaku melalui sentuhan fizikal sama ada gigitan, cakaran ketika memburu atau menyediakan makanan.

Selain itu, individu juga boleh terdedah dengan jangkitan melalui makan daging yang tercemar (tidak dimasak dengan sempurna).

Oleh itu, orang ramai boleh mengambil pendekatan dengan mengelakkan sentuhan tanpa perlindungan dengan haiwan liar, terutamanya yang sakit atau mati (termasuk daging dan darahnya).

Manusia kepada haiwan

Gambar: AFP

Walaupun terdapat beberapa laporan mengenai virus ini yang dikenal pasti dalam anjing peliharaan, namun masih belum dipastikan sama ada ia daripada jangkitan manusia atau pencemaran permukaan.

Oleh itu, pemilik haiwan peliharaan dan orang yang bekerja dengan haiwan boleh mendapatkan panduan risiko daripada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) untuk mengurangkan penyebaran virus mpox ini.

Sumber: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

BACA: WHO Isytihar Cacar Monyet Darurat Kesihatan Awam

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"