Majlis Sambutan Kontinjen Negara Worldskills Competition Lyon 2024
1. Sepang, 17 September 2024 – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran hari ini mengadakan Majlis Sambutan 15 peserta Kontinjen Negara WorldSkills Competition (WSC) Lyon 2024 yang telah bermula 10 sehingga 15 September 2024 di Europe Lyon Perancis. Majlis ini telah disempurnakan oleh wakil Yang Berbahagia Datuk Azman bin Mohd Yusof Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia iaitu YBhg. Datuk Rospiagos bin Taha, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia.
2. KESUMA merakamkan tahniah dan syabas kepada wira-wirawati dan seluruh Kontinjen Negara yang telah mengibarkan Jalur Gemilang di WorldSkills Competiton Lyon 2024. Kontinjen negara diwakili oleh 15 orang peserta, 14 orang pakar, 6 orang pegawai KESUMA, 3 orang pegawai Kementerian Kerja Raya dengan diketuai oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Abdul Rahman bin Mohamad, Timbalan Menteri Sumber selaku Chef de Mission. Pertandingan kali ini disertai oleh 1,400 peserta dikalangan belia berkemahiran dari hampir 70 buah negara dan wilayah seluruh dunia yang bertanding dalam 62 bidang kemahiran.
3. Pertandingan WorldSkills ke-47 mempamerkan kecemerlangan dalam bakat muda berkemahiran, di samping membawa industri, pendidikan dan pemimpin kerajaan bersama-sama untuk menggerakkan kemahiran ke puncak agenda global. WorldSkills mengetengahkan kemahiran memainkan peranan penting dalam menangani cabaran global, meningkatkan ekonomi dan industri, dan mempromosikan kecemerlangan.
4. Pelaburan dalam kemahiran penting kerana ia efektif untuk mencipta pekerjaan dan membina ekonomi mampan. Kemahiran dapat memperkasakan belia, mengurangkan ketidaksamaan, meransang daya saing industri dan menjamin kelestarian. WSC Lyon 2024 berperanan sebagai kayu pengukur bagi menilai prestasi dan mengiktiraf bakat berkemahiran yang dihasilkan melalui program TVET di peringkat antarabangsa.
Selain itu, melalui WSC Lyon 2024 ini juga kontinjen negara berpeluang untuk meneroka kepelbagaian teknologi serta amalan baik yang dilaksanakan oleh negara-negara lain. Dengan menyerap pengetahuan ini dan dipraktikkan, ianya mampu meningkatkan latihan TVET di negara ini ke tahap yang lebih baik. Seterusnya memacu perubahan ekonomi negara dan mengubah persepsi masyarakat dan menjadikan TVET sebagai pilihan utama kerjaya.
5. KESUMA juga menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada para peserta pertandingan kemahiran seperti ini yang mampu mempromosikan kecemerlangan tenaga mahir negara di peringkat antarabangsa dan membuktikan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara adalah kompeten, berkualiti dan berkemahiran tinggi. Pasukan negara telah memenangi 1 pingat gangsa dan 4 Medallion for Excellence di WSC Lyon 2024. Senarai peserta negara dan pingat yang dimenangi adalah seperti di Lampiran A.
6. Penghargaan juga diberikan kepada semua kontinjen negara iaitu peserta, pakar, jurulatih termasuk urus setia Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) serta agensi-agensi lain yang telah memberikan komitmen yang tinggi.
7. Kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia sentiasa konsisten memberi sokongan penuh kepada para wira dan wirawati negara dalam usaha melakar kecemerlangan di pentas WorldSkills Competition. Semoga usaha menempa kejayaan di persada antarabangsa ini dapat diteruskan sebagai satu wadah memartabatkan TVET negara di tahap yang tertinggi. Kerajaan telah menyediakan insentif untuk pemenang pingat di WSC Lyon 2024 seperti di Lampiran B.