Warisan Sepanjang Zaman, Ini Sejarah Batik Di Malaysia
Setiap negara mempunyai warisan budaya dan kesenian yang tersendiri. Seperti di negara kita, pelbagai warisan yang masih lagi dihasilkan sehingga kini seperti batik.
Secara umumnya, batik dikenali sebagai seni menghias corak kain dengan motif hiasan dan bahan pewarna yang khusus.
Menurut Dewan Budaya, proses penerapan lilin dan pencelupan benang merupakan teknik yang digunakan untuk mencorakkan tekstil yang menghasilkan seni batik.
“Teknik penghasilan batik ini pada dasarnya telah diketahui selama lebih dari seribu tahun dan telah menjadi sebahagian daripada budaya dunia terutama di Nusantara, malah merangkumi negara-negara Asia Tenggara,” katanya.
Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia mencatatkan sejarah bermulanya Batik Malaysia. Sejarah batik di Malaysia telah bermula semenjak tahun 1900an lagi. Ketika itu, industri ini dipelopori pembatik di pantai timur.
Lorong Gajah Mati, Kota Bharu merupakan tempat lahirnya Batik Malaysia yang menghasilkan batik jenis sutera saring. Malah, penggunaan lilin telah bermula sejak 1913 oleh pembatik di Terengganu.
Dari aspek penggunaan batik dalam kehidupan seharian pula, ia telahpun wujud lebih awal lagi.
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Asas Pengajian Seni Visual UiTM, Azni Hanim Hamzah, batik telah lama wujud sejak zaman awal tamadun Melayu dalam sejarah busana tradisi. Batik bukan sahaja dipakai oleh rakyat jelata, malah turut diperagakan oleh golongan bangsawan dan diraja.
BACA: Bawa Lagu Bahasa Jiwa Bangsa, SMPC Chong Hwa Juara Pertandingan Koir
Jika melihat dalam kisah hikayat, salah satu bentuk pemakaian batik adalah kain cindai. Selain itu, batik turut dikenali sebagai hadiah perpisahan dan lambang cinta dalam Hikayat Malim Deman. Malah, batik pernah dijadikan tanda penganugarah darjat dalam Hikayat Hang Tuah.
Allahyarham Tan Sri P Ramlee turut pernah menjadikan batik sebagai lambang cinta yang terlarang dalam filem Sumpah Orang Minyak.
Selain itu batik yang dihasilkan di negara ini juga bukan sahaja digunakan sebagai pakaian harian, pakaian majlis keramaian dan majlis formal. Malah ia juga digunakan sebagai alas meja, sarung cadar dan batal.
Bagaimana cara untuk kenali mana satu Batik Malaysia?
Setiap seni batik adalah berbeza mengikut negara dan budaya. Di era moden ini, Batik Malaysia dikenali menerusi motif rekaan dan teknik penghasilannya.
Menurut Dewan Budaya lagi, motif Batik Malaysia dapat dikenal pasti dengan mudah kerana dipengaruhi oleh alam sekitar.
“Motif batik di Malaysia banyak dipengaruhi oleh alam sekitar seperti flora dan fauna. Motif ini terhasil daripada kepekaan dan pemerhatian masyarakat tradisional terhadap alam di sekeliling mereka,” katanya.

BACA: Apa Itu DNS? Ini Yang Anda Perlu Tahu
Berdasarkan sejarah, batik sutera saring antara jenis batik terawal dihasilkan di Malaysia. Jenis ini merupakan satu daripada empat jenis Batik Malaysia. Reka corak batik ini dicetak menggunakan blok cetak sutera saring untuk mengaplikasi lilin batik di atas fabrik.
Selain daripada itu, terdapat tiga lagi jenis Batik Malaysia iaitu batik lukis, batik terap dan batik alternatif.
BACA: Sambut Tahun Baharu Bulan Ini, Ethiopia Baru Masuk 2017, Ini Sebabnya
“Batik lukis melibatkan teknik aplikasi lilin batik menggunakan alat canting bagi melukis reka corak ke atas fabrik manakala batik terap pula melibatkan teknik aplikasi lilin menggunakan blok atau sarang batik bagi mengecap reka corak ke atas fabrik.
“Batik alternatif mengaplikasi bahan dan peralatan alternatif sebagai teknik halangan warna bagi menghasilkan reka corak seperti batik cetakan kreatif, batik clay, batik linut dan sebagainya,” ujarnya.
Untuk pengetahuan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah menjalankan pelbagai usaha melalui kraf tangan Malaysia untuk membangunkan industri kraf batik negara. Hal ini juga dapat dilihat menerusi perisytiharan Hari Batik Malaysia pada tanggal 3 Disember.
Setelah mengetahui ciri-ciri Batik Malaysia, mari kita lihat apa perbezaannya dengan Batik Indonesia.
Ciri Batik Indonesia
Berbeza dengan Batik Malaysia, Batik Indonesia kebanyakannya dihasilkan berdasarkan kisah lagenda. Setiap daerah mempunyai motif batik yang melambangkan lagenda dan budaya setempat. Menerusi perkongsian sejarahnya oleh Perpustakaan Universitas Brawijaya, terdapat 10 motif paling terkenal di Indonesia.
Antara motif batik Indonesia ialah batik tujuh rupa dari Pekalongan, batik sogan dari Solo, batik gentongan dari Madura, batik mega mendung dari Cirebon dan batik kraton dari Yogyakarta. Motif batik parang, yang menurut sejarah dicipta ketika zaman Keraton Mataram merupakan motif batik tertua di Indonesia.

Boleh dikatakan, kesemua motif batik ini mudah dikenali dan sangat berbeza dengan motif Batik Malaysia.
Sumber: Dewan Budaya, Majalah Artikel UiTM, Kraftangan Malaysia (1) (2), Universitas Brawijaya, Kementerian Pelancongan Indonesia, Republik Indonesia