Tabik Wira Kita, Ini Tiga Kisah Pegawai Tentera Yang Jarang Diceritakan Kepada Masyarakat
Tanpa kita sedari, Malaysia kini sudah 67 tahun mengecapi kemerdekaan, satu tempoh yang panjang dan penuh bermakna buat kita semua. Jika dibandingkan dengan negara lain yang kurang bernasib baik, jelas kita sebenarnya amat bertuah, hidup dalam nikmat yang tiada tara.
Kita berpeluang menghirup udara segar di bawah langit yang aman, dalam sebuah negara yang bebas daripada ancaman. Namun, pernahkah kita merenung bahawa di sebalik tabir kedamaian yang kita nikmati setiap hari, wujudnya wira-wira tanpa nama yang tidak pernah berhenti berjuang demi memastikan kedamaian ini terus kekal.
Hakikatnya, setiap saat ada insan-insan hebat yang bersedia mempertaruhkan nyawa mereka. Mereka tidak meminta pengiktirafan, tidak juga mengejar populariti. Wira-wira ini adalah pelindung senyap yang berdiri di barisan hadapan, sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh meragut kebebasan kita.
Di media sosial, kita sering melihat betapa masyarakat negara jiran begitu menghargai dan menghormati perjuangan tentera mereka. Setiap kali wira-wira ini pulang dari misi, sambutan meriah menanti dengan kehadiran rakan seperjuangan dan ahli keluarga. Bahkan, ucapan “terima kasih” telah menjadi kebiasaan sebagai penghargaan atas pengorbanan mereka.
Tetapi, pernahkah kita terfikir bahawa pejuang tanah air kita sendiri juga layak menerima penghormatan yang sama? Adakah kita benar-benar menghargai jasa mereka?
Mungkin, sudah tiba masanya untuk kita menyertai cabaran #TabikWiraKita. Luahkan penghormatan kepada anggota tentera kita, mereka yang telah banyak berkorban demi kita semua, insan yang bahkan tidak mereka kenali.
Kerana taat setia untuk negara, terpaksa berjauhan dengan keluarga
“Keluarga adalah salah satu faktor penyumbang kejayaan besar seseorang, tetapi sebagai seorang tentera, ada masa dan ketika perkhidmatan harus didahulukan dari keluarga,” kata Chef Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), BK BDI Muhammad Hafiz Md Ali.
“Kami telah bersumpah untuk hidup dan mati demi menjalankan tugas kepada agama, bangsa dan negara. Perkhidmatan harus menjadi keutamaan dalam diri setiap anggota tentera.
“Sebagai anggota TLDM, setiap hari kami menjalani latihan dan sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan. Setiap misi menuntut kami berjauhan dari keluarga untuk tempoh yang lama,” katanya lagi.
Di sisi lain, BK BDI Muhammad Hafiz menjelaskan bahawa setiap anggota tentera terikat dengan akta kerahsiaan, yang melarang mereka mendedahkan maklumat walaupun kepada keluarga sendiri.
Ketua Rumah Masak Desa Tamu di Markas Pangkalan Lumut ini juga sempat berkongsi pengalaman berharga semasa menyertai Op Daulat.
“Tugas saya sebagai chef tentera tidak kurang pentingnya. Dalam apa jua keadaan, sama ada di tengah lautan bergelora atau di medan tempur, saya tetap perlu menyediakan sajian kepada semua anggota tentera. Ini adalah tanggungjawab kami bagi menjaga moral anggota tentera yang sedang bertugas,” katanya.
Bagaimanapun, meski tugas utamanya adalah sebagai tukang masak, pengalaman terlibat dalam operasi memberikan beliau satu perspektif yang mendalam tentang situasi sebenar apabila keamanan terganggu.
“Pergerakan menjadi sangat terhad dan dikawal ketat. Suasana tersebut benar-benar genting,” katanya.
Tambah BK BDI Muhammad Hafiz, walaupun beliau memfokuskan diri dalam bidang masakan, beliau turut diberikan latihan ketenteraan dan ilmu yang sama seperti anggota tentera lain.
“Meskipun saya memiliki pengetahuan ketenteraan, pengalaman berada di medan tempur telah membuka mata saya tentang perasaan betapa takutnya apabila kawasan kita telah dikuasai oleh musuh,” ujarnya.
Berkorban buat negara bermakna berkorban buat keluarga
Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) merangkap Pegawai Staf 2 Pengurusan Anggota Lain-Lain Pangkat, Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia, Mej Mohd Shaiful Amir Omar berkata, walaupun tugasnya sering membuatkan beliau berjauhan dari keluarga, beliau bangga dengan pengorbanan yang dilakukan.
“Sebagai pegawai Tentera Darat ni, masa kami lebih banyak di dalam operasi. Selesai operasi, baru dapat bertemu anak-anak dan isteri. Ia satu tempoh yang panjang dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Dalam situasi ini, isteri dan anak-anak tentera ni perlu berdikari menjalani kehidupan seharian.
“Inilah harga yang perlu dibayar demi mempertahankan negara tercinta. Saya percaya, anak dan isteri saya faham tugasan saya ini. Saya amat menghargai pengorbanan anak dan isteri saya. Itulah cara mereka menyumbang kepada pertahanan negara, dengan menerima saya seadanya.
“Dalam hampir 17 tahun dalam kerjaya ini, itulah hakikat kerja kami, tentera ni. Di pihak keluarga, tidak mudah untuk mereka menerima hakikat ini, tetapi itulah tuntutan kerja, jika bukan saya yang berkorban demi negara, siapa lagi.
“Menyentuh perihal keluarga, saya akui yang saya sendiri tidak dapat melihat anak-anak membesar di hadapan mata,” katanya.
Di sebalik pengorbanan mereka, keberanian para tentera pastinya membanggakan bukan sahaja keluarga, bahkan rakyat Malaysia.
Ketika ditanya apakah pengalaman yang paling tak dapat dilupakan sepanjang perkhidmatan, Mej Mohd Shaiful Amir berkata pengalaman dihantar ke Lubnan adalah salah satu pengalaman paling berharga buatnya.
“Salah satu pengalaman yang paling berharga adalah ketika bertugas di Lubnan dalam Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersama Malaysian Battalion 850-2 dari tahun 2014 hingga 2015.
“Dalam misi ini, saya dilantik sebagai ‘Pegawai Staf 3 Gerak (Rancang)’ atau lebih dikenali sebagai Battle Captain, bertanggungjawab untuk merancang jadual ronda dan aktiviti bersama tentera Lubnan.
“Tugas saya adalah memastikan setiap perancangan dilaksanakan dengan baik tanpa sebarang ancaman atau kekangan, terutama dalam aspek komunikasi.
“Keselamatan dan keamanan sangat bergantung pada kefahaman yang jelas antara semua pihak,” katanya.
Tambahnya lagi, tanggungjawab itu merupakan amanah besar buat dirinya kerana setiap nyawa menjadi ‘taruhan’.
Selain itu, Mej Mohd Shaiful Amir turut mengimbau pengalamannya semasa terlibat secara tidak langsung dalam Op Daulat di Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013.
“Pada waktu itu, saya bertugas sebagai juruiring kepada Panglima Medan Tentera Darat (PMTD). Apabila insiden tercetus, PMTD telah bergerak untuk meninjau situasi di Lahad Datu.
“Ketika itu, hanya terdapat satu helikopter yang tersedia untuk operasi, dan ia diutamakan untuk membawa panglima dan beberapa orang pegawai kanan lain.
“Dalam situasi itu, saya tiada pilihan lain selain menaiki trak tiga tan yang membawa bekalan peluru kepada anggota barisan hadapan melalui kawasan yang dikenali sebagai ‘black area’.
“Nampak seperti pergerakan biasa, tetapi boleh jadi itulah tugasan terakhir sekiranya kami diserang. Tidak semua orang mampu mengharungi hari-hari sukar dan mencabar itu. Jika leka walaupun sejenak, itu mungkin akan menjadi saat terakhir buat diri saya dan anggota lain yang terlibat,” katanya.
Beliau menjelaskan lagi bahawa kawasan ‘black area’ itu adalah kawasan berisiko tinggi yang menjadi lokasi ketegangan dalam usaha penceroboh untuk menguasai kawasan tersebut.
Tambah beliau lagi, situasi tersebut memaksanya sentiasa berwaspada sepanjang masa kerana serangan musuh boleh berlaku bila-bila masa.
Wanita besi, individu penting di sebalik misi membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia
Dalam pada itu, Pembantu Juruterbang pesawat Airbus A400M dari No. 8 Skuadron Pangkalan Udara Subang dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), juga menghadapi realiti yang sama.
“Sebagai seorang wanita, isteri dan ibu, perasaan meninggalkan keluarga memang sangat berat. Namun, tanggungjawab terhadap negara adalah lebih utama.
“Status saya sebagai seorang wanita tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan tugas dan tanggungjawab yang telah saya angkat sumpah,” ujarnya.
Sering berjauhan dengan keluarga untuk tempoh yang panjang, Kapt Nur Antasha TUDM mengakui sedar bahawa setiap misi, operasi mahupun latihan ketenteraan datang dengan risikonya sendiri.
“Namun, inilah jalan yang saya pilih untuk sentiasa berpegang teguh kepada nilai teras TUDM, iaitu ‘Service before self’,” tambahnya.
Di sisi lain, Kapt Nur Antasha TUDM turut berkongsi pengalaman yang tidak akan dilupakannya ketika menerbangkan pesawat Airbus A400M ke Pangkalan Udara Al Maza di Mesir dalam satu misi kemanusiaan.
Misi tersebut bertujuan untuk membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan.
“Dengan pelbagai berita yang tersebar di media sosial, kami sedar bahawa risiko misi ini sangat besar. Situasi di kawasan konflik sentiasa berubah dan ancaman sentiasa ada,” jelas Kapt Nur Antasha TUDM.
Namun, semangat keberanian dan tanggungjawabnya tidak dihentikan oleh hal itu.
Sebagai anggota ATM, beliau menegaskan bahawa perjuangan mereka tidak hanya terbatas kepada keselamatan negara, tetapi juga merangkumi misi kemanusiaan.
“Kami tidak hanya berjuang untuk mempertahankan negara, tetapi juga untuk membantu mereka yang memerlukan. Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab kami sebagai anggota tentera,” tambahnya.
Tambah beliau, tugas seorang anggota tentera bukan hanya untuk berperang. Malah, juga melibatkan penglibatan dalam misi kemanusiaan, membawa harapan kepada mereka yang sedang menderita akibat bencana alam, konflik dan krisis kemanusiaan yang lain.
“Ini adalah komitmen ATM dalam menyokong keamanan dan kemanusiaan di peringkat global juga,” katanya.
Bayangkan, jika suatu hari nanti kehidupan tenang dan indah ini tiba-tiba ternoktah tanpa kehadiran mereka yang selama ini menjadi perisai negara
Setiap langkah kita pasti dibayangi ketakutan, di mana kebebasan kita mungkin akan bertukar menjadi angan-angan.
Tanpa mereka, dunia yang kita anggap aman ini pasti beransur menjadi ‘mimpi ngeri’.
Ketahuilah bahawa wang ringgit mahupun pengiktirafan tidak dapat menandingi bakti yang telah mereka taburkan.
Mereka adalah wira yang tanpa lelah mempertahankan kedaulatan tanah air kita, menjadikan negara kita selamat dan aman.
Jadi, mengapa tidak kita sama-sama memberikan penghormatan buat mereka?
Mari bersama-sama kami dalam #TabikWiraKita
Ayuh, rakyat Malaysia, sertai kami dalam cabaran kempen #TabikWiraKita, sebagai satu simbolik tanda apresiasi kepada wira-wira negara yang telah banyak berjasa mempertahankan kedaulatan tanah air.
Melalui penyertaan cabaran ini, kita berpeluang untuk mengungkapkan rasa terima kasih kita melalui video kreatif berdurasi dua minit di platform media sosial masing-masing. Syarat penyertaan terbuka kepada orang awam sahaja.
Berlangsung selama sebulan, bermula dari 25 September hingga 31 Oktober ini, jangan lepaskan peluang untuk menyertai dan berkongsi video anda dengan menggunakan hashtag #TabikWiraKita.
Ambil peluang ini dengan hati yang terbuka dan penuh rasa syukur. Tunjukkan bahawa kita menghargai setiap pengorbanan mereka dengan #TabikWiraKita.
Untuk makluman, Kempen Tabik Wira Kita ini telah dimulakan oleh selebriti terkenal, Fattah Amin dengan tujuan membangkitkan rasa bangga terhadap negara serta memberi pengiktirafan kepada ATM.
“Penglibatan saya dalam kempen ini sebenarnya didorong oleh rasa hormat yang mendalam terhadap tentera, terutamanya kerana saya juga berasal dari keluarga beruniform.
“Rasa bangga terhadap mereka yang berkhidmat sebagai tentera telah lama tertanam dalam diri saya,” ujar Fattah Amin.
Menurut Fattah, sumbangannya kepada kempen ini adalah satu bentuk penghargaan dan tanggungjawab sebagai seorang pempengaruh media sosial kepada pertahanan negara.
Dia merasa terpanggil untuk menggunakan platform yang dimilikinya untuk memperluas mesej kempen dan menyebarkan semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, Fattah juga menekankan bahawa ramai orang tidak menyedari bahawa ATM ini tidak terhad kepada tugas bertempur di medan perang sahaja.
“Profesion ketenteraan sebenarnya sangat luas, tetapi kita sering kali tidak nampak atau tidak sedar.
“Selain daripada anggota tentera yang bertugas di barisan hadapan, terdapat ramai lagi wajah-wajah sebalik tabir yang menjadi wira senyap negara,” katanya.
Beliau memberi contoh bahawa selain daripada tentera yang bertempur di medan perang, terdapat juga chef tentera, unit pengurusan media dan pelbagai profesion lain yang menyokong operasi ketenteraan.
“Bukan itu sahaja, mereka tidak hanya bersedia bertempur dengan pihak lawan untuk mempertahankan kedaulatan negara. Malah, mereka turut menyumbang dalam misi kemanusiaan dan memberikan bantuan semasa bencana alam,” jelas Fattah.
Menutup bicara, Fattah Amin menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk menyertai cabaran kempen #TabikWiraKita sebagai tanda bahawa doa dan semangat kita sentiasa mengiringi pahlawan barisan hadapan negara.
“Mari kita bersama-sama menunjukkan penghargaan kita dan menyokong mereka yang telah memberikan sumbangan besar kepada negara.
“Kempen ini adalah cara kita untuk menyatakan terima kasih dan menguatkan semangat patriotisme di kalangan kita semua,” katanya dengan penuh harapan.