Muzium Merentasi Lorong Waktu: Pendidikan Dan Penyelidikan Melalui Inovasi
Kuala Lumpur, 26 September 2024 – Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menerusi Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi telah menganjurkan Forum Kurator Perdana yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Puan Saraswathy Kandasami, Timbalan Menteri Perpaduan Negara bertempat di Auditorium Jabatan Muzium Malaysia, Kuala Lumpur pada 26 September 2024.
Menggunakan tema yang diangkat pada sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2024 “Muzium Untuk Penyelidikan dan Pendidikan”, Jabatan Muzium telah melihat tema ini dari aspek inovasi. Forum Kurator Perdana merupakan platform terbaik untuk menyampaikan dan menyebarluas dapatan para cendekiawan, pakar dan pemain industri dalam menyelami inovasi yang telah dilaksanakan menerusi pendidikan dan penyelidikan bagi memperkukuhkan peranan muzium sebagai institusi pendidikan tidak formal yang bersifat dinamik dan inklusif.
Yang Berhormat Senator Puan Saraswathy Kandasami dalam ucapannya berkata, “Forum yang dianjurkan ini dapat memberi manfaat yang besar kepada kita semua dalam usaha untuk memperkukuhkan peranan muzium sebagai sebuah institusi tidak formal dengan melihat perkembangan trend dan inovasi yang dilaksanakan melalui pendidikan dan penyelidikan.”
Sesi forum dimulakan dengan ucaptama oleh YBhg. Datuk Kamarul Baharin bin A. Kasim dan barisan panel iaitu YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan & Pembangunan Teknologi Agensi Nuklear Malaysia, Ts. Dr. Hafizah binti Rosli, Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Puan Noreen binti Zulkepli, Pengarah Muzium & Galeri Seni Bank Negara.
Dapatan yang dikongsikan oleh para panel dalam forum ini membolehkan muzium muzium memahami dengan lebih mendalam tentang isu-isu semasa, trend dan cabaran dalam konteks pengembangan muzium sebagai pusat pembelajaran.
Selain itu, forum ini juga merupakan platform menghimpunkan jalinan kerjasama dan kolaboratif antara pelbagai pihak seperti institusi pendidikan, agensi penyelidikan, muzium dan masyarakat awam dalam pertukaran sumber, idea dan pengalaman.