Transformasi Pulau Rusukan Besar Kekal Unik & Vibrant Sebagai Destinasi Pelancongan Pulau Labuan
WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN, 29 SEPTEMBER 2024 – Lebih 100 sukarelawan bekerjasama menjayakan siri ketiga aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) Program Pembersihan dan Pengindahan Pulau Rusukan Besar pada hari ini bersama YB Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Program ini merupakan inisiatif strategik Jabatan Wilayah Persekutuan, Perbadanan Labuan dan Yayasan Sukarelawan Siswa. Pelaksanaan aktiviti CSR yang dilaksanakan sebanyak tiga siri ini memberi fokus kepada aspek kebersihan dan pengindahan pulau untuk menjayakan industri pelancongan di WP Labuan menjadi lebih vibrant.
Dengan penglibatan sukarelawan gandingan pelbagai agensi kerajaan, komuniti dan NGO daripada Jabatan Wilayah Persekutuan, Perbadanan Labuan, Yayasan Sukarelawan Siswa, Perbadanan Putrajaya, BOMBA, ASTRO AWANI, Persatuan Penggiat Media Labuan, Rakan Muda Labuan, Persatuan Kontraktor G1 WP Labuan dapat menyiapkan final touch up kawasan utama tumpuan pelancong di Pulau Rusukan Besar.
Hasil dari pelaksanaan program CSR ini, Pulau Rusukan Besar bagai diremajakan semula dengan keindahan suasana yang bersih dan lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti rumah pokok, buaian pantai, kafe, tandas baharu dan lain-lain lagi.
Pembinaan jeti baharu juga akan mula dibina pada bulan Oktober ini untuk menggantikan jeti lama yang telah reput dan usang. Pelbagai kemudahan yang telah tersedia ini membuka peluang yang seluas-luasnya untuk dinikmati oleh para pelancong dari dalam dan luar negara yang berkunjung ke Pulau Rusukan Besar.
Melalui aktiviti CSR pembersihan dan pengindahan Pulau Rusukan Besar, keterampilan dan nafas baharu pulau yang berwajah muda ini memberi nilai tambah kepada industri pelancongan pulau Labuan.