Hujan Lebat Diramal Landa 12 Negeri & 1 Wilayah Hingga Malam Ini
Hujan lebat dan ribut petir diramal akan melanda kebanyakan negeri sehingga jam 9 malam ini.
Menerusi kenyataan MetMalaysia di Facebook, hujan lebat dan ribut petir akan melanda seluruh negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sementara itu daerah Jeli, Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai di Kelantan juga akan dilanda cuaca buruk itu.
Di Terengganu, daerah yang terlibat ialah Besut, Setiu dan Hulu Terengganu, manakala di Pahang pula melibatkan Tanah Tinggi Cameron dan Bera.
Selain itu, di Selangor pula ia hanya melibatkan daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat.
Daerah Jelebu, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan juga turut terlibat. Di Johor pula, hujan lebat akan melanda Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Beralih ke Sarawak, daerah yang diramal akan dilanda hujan lebat ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sarikei (Sarikei dan Meradong), Sibu (Sibu), Mukah (Tanjung Manis dan Daro) dan Limbang.
BACA: Fasa Peralihan Monsun Mula 24 Sept, Bawa Hujan Lebat & Angin Kencang
Manakala di Sabah, ia melibatkan Pedalaman (Sipitang dan Beaufort), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.
Berikutan amaran cuaca ini, orang ramai diminta untuk sentiasa berhati-hati dan tidak berada di kawasan berisiko khususnya di kawasan air pasang besar.
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia