Sebenarnya, memang ada di sekeliling kita kanak-kanak yang yang mempunyai kepintaran luar biasa dan tahap pemikiran jauh lebih tinggi berbanding rakan seumur.
Sejak kecil lagi, mereka ini sudah menunjukkan kebolehan yang menakjubkan dan mampu menguasai kemahiran-kemahiran tertentu yang rumit serta mustahil untuk dikuasai kanak-kanak sebaya.
Ada yang mampu menyelesaikan permasalahan matematik yang sukar, mampu bertutur dalam banyak bahasa dan ada juga yang menjadi saintis muda serta pereka cipta.
Jika bakat ini dipupuk dengan baik atau dihantar mengikuti program khas, mereka berpotensi untuk menjadi individu berpengaruh dan menyumbang kepada tamadun manusia.
Di Malaysia, kita juga ada kanak-kanak yang sangat genius yang mana ciptaan mereka turut menawarkan penyelesaian kepada masalah-masalah moden yang kita hadapi.
Jadi kali ini, kami hendak berkongsi dengan anda semua lima kanak-kanak yang boleh dianggap super genius kerana ada antara ciptaan mereka digunakan oleh dunia hingga ke hari ini.
Louis Braille, pencipta tulisan Braille
Siapa sangka, sistem tulisan Braille yang digunakan oleh orang kelainan upaya (OKU) penglihatan ini sebenarnya dicipta Louis Braille ketika beliau berumur 15 tahun.
Braille sebenarnya secara tidak sengaja membutakan sebelah matanya pada usia 3 tahun ketika bermain dengan alat jahitan yang ditemui di bengkel kulit milik ayahnya.

Manakala mata sebelah lagi menjadi buta akibat sympathetic ophthalmia, iaitu keradangan pada kedua-dua mata akibat trauma yang asalnya dialami oleh sebelah mata.
Hari ini, tulisan Braille digunakan secara meluas di seluruh dunia dan menawarkan dimensi baru kepada OKU buta untuk membaca.
Hot Seat ciptaan Alissa Chavez, selamatkan nyawa bayi
Alissa Chavez mendapat idea untuk mencipta Hot Seat ketika dia berumur 14 tahun selepas merasa terganggu dengan berita kematian bayi akibat suhu tinggi akibat tidak sengaja ditinggalkan dalam kereta.
Alat ciptaannya bertindak seperti sensor yang diletakkan di bahagian tempat duduk pada kerusi bayi.
Sensor ini akan mengesan peningkatan suhu sekiranya bayi ditinggalkan dalam kereta dan penggera akan berbunyi. Malah, sensor ini turut berupaya untuk menghantar isyarat ke telefon bimbit penjaga melalui aplikasi khas.
Sensor itu juga akan membunyikan penggera sekiranya telefon bimbit penjaga bergerak meninggalkan kereta lebih 10 meter tanpa membawa bayi bersama.
Kenneth Shinozuka, cipta alat pantau pesakit Alzheimer
Kenneth Shinozuka mula mencipta alat sensor pemijak sejak usianya enam tahun lagi. Namun pada usia 14 tahun, barulah ciptaannya mula mendapat perhatian dunia dan mampu menarik dana pelaburan yang banyak.
Pada usia tersebut, Shinozuka mencipta SafeWander® Sock Sensor iaitu sebuah peranti dengan sensor berasaskan tekanan yang dipasang dalam stokin.

Stokin itu pula akan dipakaikan kepada pesakit yang terlantar di katil dan memerlukan bantuan penjaga untuk bergerak.
Menurut Shinozuka, pada peringkat awal dia mencipta stokin berkenaan khas untuk datuknya yang merupakan pengidap Alzheimer.
Ketika itu, datuknya gemar berjalan malam ketika ahli keluarga yang lain sedang berehat. Tanpa pengawasan penjaga, tabiat pesakit Alzheimer yang suka berjalan pada waktu malam sebenarnya sangat berisiko.
Apabila datuknya berjalan pada waktu malam dengan memakai stokin tersebut, sensor akan mengesan tekanan dan menghantar isyarat kepada penjaga menerusi aplikasi mudah alih yang juga dicipta oleh Shinozuka.
Hari ini, SafeWander sudah berkembang menjadi sebuah syarikat besar dan mengeluarkan pelbagai peranti sensor yang membantu memudahkan penjagaan pesakit.
Maryam Muzamir, ciptaannya atasi masalah sisa kulit udang
Kanak-kanak Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Pada usia 10 tahun, Maryam Muzamir berjaya mencipta produk makanan haiwan yang dinamakan sebagai YAM 2.0: Sustainable Livestock Feed.
Menariknya, produk berkenaan dihasilkan menggunakan sisa kulit udang dan cengkerang siput. Ia sekaligus menawarkan penyelesaian kepada pengurusan kedua-dua sisa makanan berkenaan.

Ciptaan Maryam seterusnya turut mendapat pengiktirafan dunia apabila memenangi 3 pingat emas dalam The 6th International Invention, Innovation Competition (iCAN) 2021 di Toronto, Kanada.
Malah, media antarabangsa turut membuat liputan tentang Maryam apabila dia tampil dalam rancangan televisyen termuka Amerika Syarikat, The Late Late Show with James Corden.
Menurut laporan media tempatan, ciptaan Maryam akan dipatenkan dan sudah pun mula menarik perhatian syarikat-syarikat swasta, termasuk dari luar negara untuk bekerjasama.
Muhammad Khawarizmi, rocketeer termuda Malaysia
Seawal usia sembilan tahun, Muhammad Khawarizmi sudah pun menunjukkan kepintaran untuk mencipta dan mereka bentuk roket bahan api pepejal.
Malah, dia juga berupaya menggunakan perisian CAD (Computer-aided design) Fusion 360 dan mengawal pelancaran serta pergerakan roket melalui aplikasi telefon yang diciptanya sendiri.
Dengan bantuan ayahnya, Khwarizmi kemudian juga berjaya menghasilkan permainan atas talian berasaskan pendidikan berkenaan roket dengan menggunakan perisian 4S Game.

Selain pintar dalam teknologi roket, Khawarizmi juga mahir membangunkan aplikasi sendiri apabila pernah menghasilkan aplikasi khusus yang dapat membantu ibu bapa mengawal aktiviti komputer anak-anak secara offline.
Dengan kebolehan yang ada, Khawarizmi telah menarik perhatian Pusat Sains Negara dan mereka bekerjasama membangunkan aplikasi ARKids iaitu gabungan teknologi Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR).
Sertai Malaysia Techlympics, cungkil bakat inovatif anak-anak anda
Melihat bakat-bakat muda di atas, memang terbukti kanak-kanak genius ini perlu diberi bimbingan dan platform untuk mereka terus berkembang.
Di Malaysia, kita ada Malaysia Techlympics, iaitu sebuah pertandingan di bawah kelolaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk mencungkil bakat-bakat muda dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Pertandingan ini sudah pun memasuki tahun ketiga sejak diperkenalkan oleh MOSTI pada 2022 dan dibuka kepada peserta berumur dari 7 hingga 30 tahun.
Untuk edisi 2024, Malaysia Techlympics mengetengahkan pelbagai sub topik menarik dalam STEM untuk dijadikan subjek pertandingan.
Secara umumnya, pertandingan ini dipecahkan kepada tiga peringkat umur iaitu pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan belia.
Setiap peringkat umur ini pula mempunyai modul-modul tersendiri iaitu sekolah rendah dengan sembilan modul, sekolah menengah (10 modul) dan belia (1 modul).
Modul-modul pertandingan ini pula berteraskan seperti kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT), dron, pengekodan dan robotik.
Maklumat lanjut setiap modul boleh diakses di sini https://www.mytechlympics.com/bm/tournament/.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Malaysia Techlympics akan menjelajah ke seluruh pelosok negara mencari bakat-bakat genius untuk diketengahkan.
Untuk tahun ini, Malaysia Techlympics dianjurkan bermula Ogos mengikut zon masing-masing iaitu Zon Timur, Zon Sabah, Zon Selatan, Zon Tengah, Zon Utara dan Zon Sarawak.
Setakat ini, penganjuran yang sudah berjalan dan berakhir adalah melibatkan Zon Utara, Zon Selatan, Zon Timur, Zon Tengah dan Zon Sabah sudah pun berakhir.
Bagaimanapun, anda masih berkesempatan untuk menghadiri hari pertandingan bagi zon yang masih belum berlangsung iaitu Zon Sarawak.

Berikut adalah tarikh-tarikh penting pertandingan bagi zon yang masih belum berjalan.
17 – 18 Oktober
Pada tarikh ini, Malaysia Techlympics Zon Sarawak akan dilaksanakan di Universiti Teknologi Sarawak, Sibu.
Untuk pengetahuan anda, juara di setiap zon akan dipilih untuk mewakili negeri masing-masing dan layak untuk bertanding di peringkat kebangsaan.
Mereka yang terpilih ini akan ‘terbang’ ke Putrajaya untuk bertanding di Peringkat Akhir Kebangsaan yang dijadual akan berlangsung pada November ini.

Semoga jadi inspirasi untuk anak-anak menjadi genius seterusnya
Jadi, jangan lepaskan peluang untuk membawa anak-anak anda menyaksikan sendiri penganjuran Malaysia Techlympics di dua lokasi terakhir.
Siapa tahu, anak anda mungkin terinspirasi untuk menjadi seorang saintis atau pereka cipta suatu hari nanti.
Maklumat lanjut boleh diperolehi di Facebook, Instagram, TikTok dan laman web Malaysia Techlympics.