Bukan nak kata apa, pembuangan sampah yang tidak terurus tidak boleh dipandang mudah kerana kesannya jauh lebih besar daripada yang disangka. Sampah yang dibiarkan merata bukan sahaja mencacatkan pemandangan tetapi juga boleh membawa ancaman serius kepada kesihatan masyarakat.
Ramai antara kita pasti tahu yang kebersihan persekitaran bukan sekadar tentang pandangan mata, tetapi ia juga memberi impak yang besar dalam kehidupan seharian kita.
Baru-baru ini, satu post di Facebook oleh seorang lelaki menjadi perhatian ramai selepas berkongsi tindakannya ketika melihat seseorang ‘buang sesuatu’ dari tingkap kereta. Bekerja di sebuah stesen minyak, lelaki ini sudah biasa dengan pelbagai ragam pelanggan, namun ada satu tabiat yang sering membuatkannya terganggu.
Namun, tindakan lelaki ini dalam menangani situasi tersebut benar-benar mengundang pujian. Ini perkongsian beliau:
“Barang Abang Tercicir!”
Tadi waktu kerja di stesen minyak, aku perasan ada seorang pemandu ni selamba je ‘buang sesuatu’ keluar dari tingkap kereta. Korang pun tahulah, aku ni kerja kat sini dah lama, macam-macam ragam orang aku dah jumpa. Tapi benda BUANG SAMPAH ni memang paling aku pantang.
So, aku pun kutip sampah yang dia buang tu, jalan perlahan-lahan ke arah kereta dia, dan hulurkan balik, “Nah bang, sampah abang terjatuh tadi. Saya kutipkan. Sampah sendiri pun berkira.”
Ada yang jeling, ada yang malu sendiri. Perasan gak dia pandang aku, tapi takpe la janji puas hati. Kalau semua orang sedar benda ni, aku yakin mesti takde lagi sampah bersepah kat mana-mana.
Respon spontan lelaki tersebut mengundang pujian ramai kerana ia memberi pengajaran yang baik tanpa perlu menimbulkan sebarang konflik.
Walaupun situasi di atas banyak terjadi, namun kita juga perlu tahu yang pembuangan sampah yang tidak diurus dengan baik sebenarnya memberi kesan yang lebih berbahaya kepada kesihatan jika tidak dibendung.
Sisa makanan dan bekas-bekas kosong yang dibiarkan begitu sahaja menjadi tempat pembiakan serangga dan haiwan seperti lipas, lalat, tikus dan nyamuk. Tambahan pula, serangga dan haiwan ini boleh menyebarkan penyakit berbahaya seperti keracunan makanan, demam kepialu (tifoid), leptospirosis dan demam denggi.
Nyamuk Aedes misalnya, bertelur di dalam air bertakung akibat bekas sampah terbuka dan pembawa utama virus denggi. Apabila kita tidak menguruskan sampah dengan betul, risiko jangkitan denggi boleh meningkat dalam masyarakat.
Begitu juga dengan tikus yang mencari makanan di kawasan sampah. Haiwan ini boleh menyebarkan penyakit leptospirosis melalui air kencing. Penyakit ini boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera.
Masih tak percaya lagi? Cuba tengok video penjelasan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah ini.
Oleh sebab itulah, inisiatif-inisiatif untuk meningkatkan kesedaran mengenai kebersihan dan amalan membuang sampah dengan betul sangat penting.
Bersesuaian dengan konteks Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), kebersihan persekitaran adalah salah satu daripada 4 Teras yang diangkat untuk membentuk masyarakat yang lebih sihat dan sejahtera.
Dalam Teras 4 ANMS, kebersihan persekitaran adalah penting untuk kesejahteraan kesihatan rakyat. Inisiatif KKM ini ialah salah satu usaha menggalakkan masyarakat untuk menjaga persekitaran iaitu dengan memastikan pembuangan sampah dilakukan dengan betul, menjaga kebersihan tempat awam, dan mengambil langkah-langkah bagi memastikan kawasan persekitaran bebas daripada serangga dan haiwan perosak.
Apa yang boleh dikatakan, kebersihan persekitaran bukan sahaja tanggungjawab individu, tetapi juga usaha bersama untuk memastikan masyarakat kita bebas daripada penyakit dan risiko kesihatan.
Dengan menguruskan sampah dengan betul, kita boleh mencegah penyebaran penyakit dan menjaga kesejahteraan bersama. Marilah menjaga persekitaran agar masa depan lebih sihat, bersih, dan selamat untuk kita semua.