Apple Tak Boleh Jual Iphone 16 Di Indonesia, Selagi Tak Penuhi Komitmen Pelaburan
Indonesia tidak membenarkan Apple menjual model telefon pintar terkini, Iphone 16 di negara itu selagi syarikat berkenaan tidak memenuhi komitmen pelaburannya.
Menurut Tempo, perkara berkenaan disahkan sendiri oleh Menteri Industri Indonesia, Agus Gumiwang Kartasasmita baru-baru ini.
Agus berkata, Apple sehingga kini masih belum memenuhi baki komitmen pelaburan berjumlah kira-kira Rp235 bilion di negara dengan jumlah penduduk lebih 250 juta orang itu.
Isu pelaburan tersebut menyebabkan Apple sehingga kini tidak dapat memperbaharui sijil komponen domestik, atau Tingkat Komponen Dalam Negeri (TKDN) yang membenarkan Iphone 16 dijual disana.
Apple tak dibenar jual Iphone 16 di Indonesia
Sijil TKDN Apple sebelum ini dikatakan sudah tamat tempoh, manakala komitmen pelaburan yang dibangkitkan oleh Agus adalah antara syarat yang perlu dipenuhi untuk pembaharuan tersebut.
“Jumlah pelaburan yang sudah dipenuhi oleh Apple setakat ini adalah Rp1.48 trilion, tetapi belum mencapai komitmen yang dijanjikan iaitu Rp1.71 trilion,” katanya kata Agus.
Jelasnya lagi, apabila Apple memenuhi semua baki komitmen pelaburannya, syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu layak mendapat 40 peratus TKDN.
Ia kemudian akan membolehkan Apple membawa masuk model Iphone 16 dan peranti-peranti lain yang menggunakan talian mudah alih ke pasaran negara itu.
Berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Perindustrian (Nombor 29), pengiraan TKDN dibuat melalui tiga skim pelaburan.
Pengiraan TKDN dibuat berdasarkan tiga skim
Tiga skim pelaburan berkenaan adalah pengeluaran produk dalam negara, pembangunan aplikasi secara domestik dan mencipta produk inovatif dalam negara.
Dalam kes Apple, Agus berkata syarikat itu sedang memanfaatkan skim pembangunan aplikasi secara domestik.
Terdahulu, Apple melancarkan siri Iphone 16 secara rasmi melalui Apple Event pada 9 September lepas.
Pengguna di Malaysia menjadi antara yang terawal yang dapat memiliki barisan baharu telefon pintar berkenaan susulan pembukaan Apple Store di Kuala Lumpur sebelum ini.
BACA: Malaysia Antara Negara Teratas Dalam Keselamatan Siber Di Asia Tenggara – Kaspersky
Sumber: TEMPO