Belia Yang Berumur 30 Tahun Menjelang 2026, Ini Perubahan Drastik Yang Korang Kena Hadapi
Setiap hari atau bulan mahupun tahun, usia kita akan meningkat seiring dengan peredaran masa dan sudah pastinya banyak perubahan yang berlaku dalam kehidupan kita. Walau apa pun perubahan yang berlaku, pastinya ia akan membawa impak positif kepada kehidupan seseorang.
Begitu jugalah perubahan drastik yang akan dirasai oleh sesiapa yang sudah memasuki umur 30 tahun menjelang tahun 2026 nanti? Tapi, kenapa dengan tahun 2026 dan lingkungan usia 30 tahun? Dan apakah perubahan yang dimaksudkan?
Pertamanya, umur korang sudah mencecah 30 series, di mana sebahagian orang akan dianggap sudah tua apabila memasuki tahap umur ini. Mungkin nanti akan ada rakan-rakan atau sanak saudara yang mengusik umur 30an korang itu, tapi janganlah terasa sebab semua orang akan melalui fasa tersebut jika umur panjang.
Keduanya, korang tidak lagi akan bergelar sebagai seorang belia, kerana bermula 1 Januari 2026, had umur belia adalah pada 30 tahun. Jadi, sesiapa yang berumur sekitar 30 – 40 tahun pada tahun ini, nikmatilah zaman belia korang yang masih tersisa ini. Sebaik masuk sahaja tahun 2026, korang pun sudah tidak dianggap belia walaupun umur belum mencecah 40 tahun.

Perkara itulah yang telah tertulis di dalam pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668). Antara lain kandungan akta tersebut adalah penetapan had umur ketua ataupun pemegang jawatan pertubuhan belia iaitu 18 hingga 30 tahun dan mengehadkan tempoh ketua pertubuhan belia selamat empat tahun.
Ketiga, mengikut Pelan Transisi Kepimpinan Belia, inilah peluang yang disediakan untuk belia yang berumur 18 hingga 30 tahun membuktikan kebolehan dan potensi mereka untuk memimpin. Jadi belia berumur kurang 30 tahun, sudah bersediakah untuk memimpin?
Kembara Jumpa Orang Muda (JOM)
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menganjurkan pelbagai edisi Kembara Jumpa Orang Muda atau Kembara JOM di setiap negeri bagi mendapatkan maklum balas serta pandangan yang akan digunakan untuk memuktamadkan Pelan Transisi Kepimpinan Belia yang bakal jadi pemacu pelaksanaan pindaan akta tersebut.
Sesi townhall telah memberi ruang kepada belia untuk memberikan pandangan secara langsung kepada KBS mengenai pelan transisi umur belia.

Melihat pandangan orang ramai, ada yang berpendapat had umur belia 30 tahun akan dapat memecahkan sentimen anak muda tidak mampu untuk memimpin. Makna kata, golongan ini akan memaksa diri mereka untuk berani dan menonjol di dalam tampuk kepimpinan bagi mana-mana persatuan. Mereka juga lebih berpeluang untuk memimpin kerana had menjadi tempoh ketua pertubuhan belia hanya selama empat tahun.
Belia yang berumur di bawah 30 tahun, ini peluang anda untuk menonjolkan keupayaan anda untuk memacu pucuk pimpinan dan berani menjadi pembuat keputusan demi memajukan seluruh belia di Malaysia.

Menurut YB Adam Adli, Timbalan Menteri KBS, pihaknya sedia menerima pandangan dan kritikan daripada anak muda bagi memberi peluang mereka untuk bersuara. Tambah beliau, golongan belia perlu berani mengambil risiko untuk terus maju dan berdikari.
Pelbagai perkara juga telah diketengahkan melalui Kembara JOM di seluruh negara, antaranya kos sara hidup, peluang pekerjaan, gaji dan juga pendidikan. Semua perkara yang disampaikan oleh belia dalam program ini juga akan dijadikan input bagi KBS membuat dasar atau program yang bersesuaian, menepati minat, citarasa dan keperluan anak muda masa kini.
Jadi buat yang masih bergelar belia, adakah korang sudah bersedia untuk memimpin? Dan sebenarnya inilah masa dan peluang untuk korang menunjukkan kemampuan dan sumbangan korang kepada pembangunan negara.
Untuk tahu lebih banyak program KBS, layari www.kbs.gov.my atau ikuti media sosial mereka di KBSMalaysia.